PEMIKIRAN AWAL KE ARAH MEREALISASIKAN DEMOKRASI ISLAM DI MALAYSIA

Oleh Muhamad Razak Idris

 

Kehidupan bernegara diatur oleh tatacara khusus dan pelbagai meliputi segala tuntutan dan keperluan setiap warganya.  Tatacara ini terangkum dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi yang luas dan rencam. Menerusi dimensi-dimensi kenegaraan inilah, dasar, akta dan perundangan dicipta dan digubal sehingga membentuk satu sistem yang syumul bagi mengatur perjalanan hidup warga negara.

 

Apabila agama Islam diturunkan kepada Nabi Muhamad, persoalan tatacara kenegaraan adalah antara aspek penting dalam yang menjadi perbahasan dalam agama. Ini kerana, agama Islam ialah satu cara hidup yang menyeluruh. Ajaran-ajaran yang terkandung dalam ajaran Islam bertujuan bagi mengatur perjalanan hidup manusia agar mencapai tahap kesempurnaan hakiki sebagaimana sewajarnya dinikmati setiap manusia. Kesempurnaan hidup tersebut tidak sekadar terbatas pada ruang lingkup kehidupan peribadi dan kekeluargaan sahaja, malah juga meliputi kehidupan dalam bernegara.

 

Negara bukanlah satu istilah baru dan asing dalam kehidupan manusia kerana negara telah pun wujud sebelum kedatangan agama Islam.  Muhamad Natsir, tokoh ilmuan Indonesia pernah menulis dalam bukunya, Agama dan Negara Dalam Perspektif Islam (2001) bahawa `negara sudah pun berdiri sebelum dan sesudah Islam apabila ada saja sekumpulan manusia hidup bersama-sama dalam satu masyarakat’

 

`Oleh kerana itu, pada era dahulu kala, sebelum adanya teknologi canggih sebagaimana kita lihat hari ini atau selalu disebut `zaman unta dan pohon tamar’, negara juga telahpun terbina sesuai dengan suasana dan keadaan pada waktu-waktu tersebut’. .(halaman 83)

 

Muhamad Natsir menjelaskan bahawa,  `apa yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah anjuran-anjuran kepada manusia bagaimana untuk mengatur sesebuah negara supaya dengan anjuran tersebut menjadikan negara kuat dan subur serta boleh pula menjadi wasilah bagi manusia mencapai tujuan hidupnya iaitu memperoleh kesejahteraan diri dan masyarakat serta kemakmuran rakyat terbanyak’.

 

 

Persoalan mengatur kehidupan bernegara sejajar dengan tuntutan dan anjuran agama adalah perbahasan yang tidak pernah terhenti dalam sejarah keilmuan masyarakat Islam secara khusus. Ini kerana, ruang dan suasana hidup sesebuah negara sentiasa berubah sejajar dengan perubahan waktu dan zaman. Perubahan-perubahan ini menuntut agama berinteraksi dengan cermat dan murni supaya semangat dan nilai-nilai utama yang ingin dianjurkan agama dapat dihidupkan secara subur lagi praktik dalam kehidupan masyarakat yang berbagai dan berubah.

 

Dalam bukunya `Sains Politik Islam’ (2004) Mohd Rumaizuddin Ghazali menghuraikan dengan agak terperinci ruang lingkup ilmu politik sebagaimana dibahaskan para sarjana dan ilmuan Islam berasaskan sumber-sumber klasik dan semasa.

 

Berdasarkan perbahasan buku tersebut, ternyata, persoalan kenegaraan Islam suatu yang sungguh dinamik menuntut tekad yang jitu para ilmuan hari kerana keperluan kepada penyesuaian teori-teori klasik ke dalam system perpolitikan moden. Ini mustahak agar roh dan semangat dari tujuan perpolitikan Islam terus dapat dihidupkan dalam perubahan zaman yang berkembang.

 

Perbahasan yang luas tentang politik Islam telah disusun penulis kepada lima bahagian utama iaitu tentang sains politik itu sendiri dalam tradisi keilmuan Islam, sistem-sistem yang melahirkan  proses perpolitikan seperti teori kuasa dan ketuanan, prinsip perundangan dalam kenegaraan Islam seperti al-Quran, al-Sunnah, Ijtihad, Qias, tentang konsep negara Islam secara khusus memperihalkan tentang kedudukan wanita, golongan minoriti dan hubungan diplomatic, juga persoalan ketua negara dalam sesebuah negara Islam membabitkan persoalan proses pemilihan, syarat-syarat, kewajipan dan tanggongjawab dan akhirnya berhubung majlis perundangan rakyat meliputi kuasa yang dimilikinya, hubungan dengan konsep demokrasi dan keanggotaan majlis tersebut.

 

Dalam konteks negara Malaysia, cabaran utama agama ialah berinteraksi dengan fenomena kenegaraan yang dibentuk oleh latar sejarah yang tersendiri dan kompleks. Hampir keseluruhan sejarah kenegaraan moden Malaysia dipengaruhi oleh era penjajahan Ingeris di Tanah Melayu yang telah merubah banyak struktur sosial dan kebudayaan masyarakatnya.

 

Warganegara Malaysia berbilang kaum dan menganut agama berlainan tetapi umat Melayu menjadi kelompok teras masyarakat. Manakala dari aspek politik, Malaysia telah berubah dari struktur berteraskan Raja kepada sistem parti politik dan pilihanraya yang dibentuk dari sistem demokrasi yang dicipta dan berkembang di negara-negara Barat. 

 

Ini adalah realiti baru yang perlu didepani oleh agama . Cabaran terbesar agama ialah bagaimana untuk menyesuaikan prinsip-prisip asas ajaran kenegaraannya dalam dalam struktur kebudayaan dan politik moden yang sama sekali berlainan dengan era hidup di zaman awal perkembangan Islam.

 

Dalam berdepan dengan realiti baru ini, Mohd Rumaizuddin telah menukilkan secara ilmiah asas-asas pemikiran ke arah pembentukan demokrasi Islam di Malaysia menerusi bukunya `Islam dan Demokrasi di Malaysia’ (2005).  Beliau menganjurkan tuntutan betapa perlu diusahakan secara serius dan cermat proses penyebatian amalan demokrasi terpilih dengan semangat dan nilai-nilai luhur Islam.

 

Proses penyebatian ini diistilahkan oleh beliau sebagai ikhtiar bagi membina `Demokrasi Islam’ di Malaysia. Ia adalah satu reaksi terhadap realiti negara ini yang bercita-cita membangun sebuah negara moden tetapi berlandaskan prinsip dan tatacara keagamaan Islam.

 

Demokrasi Islam dianggap sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut pemikiran politik Islam dan moden yang berkembang di negara ini. Berdasarkan beberapa pandangan para pemikir Islam semasa kini, jelas menerima sebahagian besar amalan-amalan demokrasi sebagai suatu yang seiring dengan semangat  dan tradisi keagamaan Islam sendiri.

 

Penulis telah menukilkan pandangan Rashid al-Ghannoushi, seorang tokoh politik Islam dari Algeria yang menyatakan bahawa Islam tidak bertentangan dengan demokrasi malah berkongsi beberapa cirri yang sama. Beliau menyeru umat Islam menerima demokrasi sebagai satu langkah untuk membebaskan negara dari pemerintahan diktator. Malah, umat Islam boleh memartabatkan syariat tertinggi agama Islam menerusi amalan demokrasi. 

 

Namun, tidak kesemua amalan demokrasi itu sesuai dan seiring dengan prinsip kenegaraan Islam. Ini kerana demokrasi bukan agama. Menurut Muhamad al-Ghazali, demokrasi harus ditanggapi sebagai  sebuah interaksi pemerintah dan rakyat. Ia adalah satu ruang yang membolehkan rakyat terbanyak mendapat ruang secara terhormat menentukan hak dan penilaian terhadap corak dan prestasi pemerintahan secara berperaturan dan bebas bagi mengelakkan berlakunya pemerintahan diktator yang amat berbahaya sekali kepada agama dan kemanusiaan.

 

Oleh kerana itu, sebagaimana dinukil dari pandangan Dr.Yusof al-Qardawi, demokrasi perlu diselaraskan amalannya dengan prinsip syura menurut tatacara kenegaraan Islam. Syura  memberikan had-had dan batasan tertentu dalam percaturan politik dalam urusan kenegaraan. Inilah kelebihan syura berbanding demokrasi yang tidak memiliki batas moral dan nilai kerana ia sepenuhnya tertakluk kepada kehendak dan pilihan ramai.

 

Dalam rangka menyusun dan menyerasikan amalan demokrasi dan prinsip kenegaraan Islam sehingga terbentuk apa yang namakan `Dekokrasi Islam’, umat Islam harus memanafaatkan sepenuhnya ilmu Siyasah Shar’iyyah dalam kehidupan berpolitik negara ini.

 

Siasah Shar’iyyah ialah satu ilmu yang memberi ruang kepada penguasa terutamanya dan para ilmuan mengatur hal ehwal pentadbiran rakyat dalam pemerintahan negara bagi tujuan memenuhi kemaslahatan atau kepentingan awam dan menolak sebarang bentuk kemudharatan atau kerosakan. Keputusan dan ketetapan yang diambil menerusi ilmu ini samada bersifat perundangan, kebudayaan dan pendidikan meliputi dasar, strategi dan penggubalan sistem-sistem harus disandarkan atas pedoman dan semangat syariah Islam iaitu bagi menjadi kebaikan awam dengan cara yang terbaik.

 

Dalam kaitan pembinaan demokrasi Islam, prinsip siyasah shar’iyyah merupakan satu instrumen yang paling mustahak digunapakai secara meluas, dinamik dan teliti dalam segala urusan hidup yang serba baru dan beraneka ragam. Dalam hubungan ini, para sarjana Muslim mempunyai tanggungjawab yang cukup besar sekali iaitu menggagaskan satu amalan perpolitikan dalam sebuah negara moden tetapi sejajar dengan semangat dan roh keislaman yang murni.

This entry was posted in Kenegaraan, Pemikiran Islam, Politik. Bookmark the permalink.

2 Responses to PEMIKIRAN AWAL KE ARAH MEREALISASIKAN DEMOKRASI ISLAM DI MALAYSIA

  1. luqmanalhakiem says:

    isi ok….. tajuk salah…. demokrasi islam????
    Jangan disamakan Islam itu dengan demokrasi….. bahaya

  2. Salahuddin Al-Ayubi says:

    Bahaya pemikiran ini…Demokrasi Islam??? Jangan nak samakan demokrasi ciptaan manusia dengan ajaran Islam dan sistemnya daripada Allah swt!! Nanti kita perlu reka sistem Syura-krasi pulak….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s