MENANGANI KRISIS PERADABAN UMAT ISLAM MASA KINI

Oleh Muhamad Razak Idris

Krisis ketamadunan yang dihadapi umat Islam ini bukan berpunca dari sebab orang lain atau faktor luaran. Sebenarnya, faktor luaran samada bersifat penjajahan kuasa besar dan sikap berat sebelah kuasa besar terhadap permasalahan umat Islam di negara Iraq dan Palestin sebagai contoh, adalah kesempatan yang dimanafaatkan akibat dari kelemahan dalaman umat Islam yang telah merebak sekian lama sehingga telah merosakkan seluruh sistem dan struktur ketamadunannya.

Dalam hal inilah, Malik Bennabi, seorang pemikir Islam moden menyatakan bahawa punca sebenarnya yang membawa krisis umat Islam hari ini ialah `permasalahan pada peradabannya’. Menurut beliau, umat Islam hanya akan mampu kembali mengatasi krisis yang dihadapinya apabila ia mampu membina asas-asas utama ketamadunannya. Asas-asas tersebut menurut Malik, ialah kembali mengukuhkan tatacara-tatacara hidup yang sejajar dengan tuntutan wahyu dalam kerangka sebuah kebudayaan Islam yang asli dan progresif.

Untuk itulah, Malik Bennabi menganjurkan umat Islam kembali `membangunkan semula kebudayaannya’ yang telah rosak akibat dari kejahilan umat Islam sendiri terhadap bimbingan ajaran wahyu serta terlalu terpegun dan asyik dengan kemegahan tamadun asing. Membina kembali kebudayaan umat Islam hendaklah dimulakan dengan usaha memupuk secara kukuh ke dalam sanubari setiap individu Muslim keyakinan dan kemegahan terhadap cara hidup dan kehebatan tradisi dan tamadun sendiri. Ini kerana, tanpa rasa yakin dan megah dengan tradisi yang dimiliki, selagi itulah umat Islam tidak akan mampu keluar dari kepompong penjajahan budaya oleh tamadun asing.

Salah satu dari tradisi terpenting umat Islam yang merupakan sumber kebudayaan yang telah membawa kepada keagungan tamadunnya di pentas sejarah lalu ialah hikmah, pedoman dan nilai-nilai hidup yang dianjurkan oleh ajaran al-Quran.

Umat Islam perlu disedarkan dan diberi keyakinan secara berterusan bahawa selagi mana umat Islam tidak berupaya memartabatkan nilai-nilai utama ajaran al-Quran menjadi satu sistem perjalanan kehidupan mereka samada diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan negara, selama itulah umat Islam tidak berupaya memulakan proses kebangkitan semula ketamadunannya.

Langkah ini hendaklah bermula menerusi proses pembaharuan berfikir umat Islam dalam menanggapi Islam. Sebagai satu agama, Islam hendaklah ditanggapi sebagai satu sistem nilai yang unggul yang merentas segala batasan perbuatan dan kehidupan manusia. Islam sebenarnya harus ditanggapi menerusi paradigma Tauhid- di mana ia bersifat sepadu dan menyeluruh. Ketaatan manusia kepada Tuhan menerusi manifestasi ibadah solat sebagai contoh harus terjelma dalam kehidupan bersosial dan berkarier dengan mematuhi segala tatacara akhlak dan perlakuan moral yang dituntut oleh Tuhan terhadap sesama manusia yang lain.

Namun, memandangkan umat Islam terdedah dengan sistem dualisme iaitu pemisahan antara kehidupan beragama dan bersosial kesan dari pemikiran sekularisme Barat, pandangan hidup dan pemikiran umat Islam terhadap agama Islam juga telah terpecah dan tidak lagi holistik. Corak berfikir umat Islam yang tidak sepadu menjadikan umat Islam dwi-wajah. Pada satu keadaan sebagai seorang Muslim yang taat beribadah tetapi pada waktu yang lain bersifat ganas. Krisis pemikiran umat Islam telah membawa kepada kefahaman dan sikap yang ekstrim.

Oleh kerana itulah para agamawan menganjurkan satu usaha pengislaman semula umat Islam hendaklah dilakukan secara serius di segenap peringkat kehidupan. Agenda yang dikenali sebagai `islamisasi’ merupakan satu proses pembudayaan semula umat Islam menerusi langkah pembaharuan corak berfikir, tatalaku sosial serta rukun ketatanegaraan dalam segenap aspek kehidupan umat Islam. Proses ini menuntut kepada keberanian membongkar khazanah ilmu tradisi Islam dan membinanya kembali secara utuh bagi membentuk satu sistem yang praktikal dan efektif untuk kegunaan dan amalan hidup umat Islam seharian.

Usaha ini menuntut setiap umat Islam kembali membongkar hikmah dari segala ajaran al-Quran. Oleh kerana itu, seorang ulama Islam terkemuka iaitu Sheikh Muhamad al-Ghazali mengingatkan bahawa, kebangkitan semula peradaban Islam harus bermula menerusi perubahan sikap umat Islam terhadap al-Quran itu sendiri. Beliau menganjurkan agar umat Islam agar beralih dari budaya `belajar bagi membaca al-Quran’ kepada ` membaca bagi mempelajari al-Quran’. Ini kerana menurut pengamatan beliau, umat Islam hari ini cuma mampu `membaca’ sahaja al-Quran tetapi mereka tidak pernah memahami maksud dan pengajaran dari kegiatan pembacaannya.

Pembinaan semula kebudayaan Islam sebagai satu langkah membina semula peradaban Islam yang kini berada dalam keadaan krisis memerlukan perubahan di peringkat setiap individu Muslim. Apabila individu Muslim mempunyai daya ketahanan dalaman yang tinggi, tentu dia akan menjadi agen yang mengubah corak persekitarannya ke arah yang lebih sempurna sejajar dengan halatuju pembinaan semula peradabannya.

Tugas ini memerlukan seluruh pihak terutama para ilmuwan dan agamawan Muslim bersatu padu dan memainkan peranan utama membina ilmu pengentahuan dan menyebarkannya sehingga ia mampu menjadi dasar pemikiran dan kerohanian umat Islam bagi melakukan proses perubahan bermula dari dalam dirinya sendiri.

This entry was posted in Isu Semasa, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to MENANGANI KRISIS PERADABAN UMAT ISLAM MASA KINI

  1. ahmad says:

    Sepanjang sejarah umat, terhadap dua kelompok yang berperanan menentukan jatuh bangun peradaban umat Islam. Dua kelompok ini ialah ulama dan umara. Ulama dalam konteks yang moden terdiri daripada para ilmuan, pemikir, intelektuals dan sarjana termasuk para fuqaha. Umara adalah para pemimpin umat Islam sama ada dalam konteks kenegaraan atau pun sejagat.

    Daripada perspektif yang lain, para ulama mewakili satu aspek iaitu ilmu pengetahuan. Umara mewakili aspek kepimpinan. Dua aspek ini merupakan batu asas kepada kecemerlangan peradaban Islam. Ulama bertindak sebagai lampu suluh kepada umat menunjukkan jalan dan hala tuju umat. Umara berperanan memimpin umat menuju ke arah jalan tersebut. Umat Islam terdahulu begitu gemilang kerana ulama berkeupayaan untuk menunjukkan jalan yang betul dan umara berkeupayaan memimpim umat ke arah jalan yang betul tersebut.

    Krisis peradaban umat Islam hari ini berpunca daripada ketidakupayaan para ulama untuk menjadi jurupandu umat menghadapi jalan yang baru (kemodenan). Rata-rata para ulama kini lesu, lemah ilmu pengetahuan, jumud, kurang kebijaksanaan, dan akhirnya kurang keberanian dalam melakukan tajdid. Para pemimpin Islam pada hari ini pula rata-ratanya lemah dan tiada yang setanding qiadahnya dengan pemimpin Islam terdahulu.

    Kalau dua kelompok ini dapat diangkat kedayaupayaannya atau mengangkat diri mereka setanding dan sehebat seperti yang sebelum ini, InyaAllah, umat Islam boleh mencapai kegemilangan peradabannya sesuai dengan sifatnya sebagai ‘khaira ummah’.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s