MEMPERKASAKAN DAKWAH MENERUSI BAHASA MELAYU

 Oleh Muhamad Razak Idris

Bahasa Melayu tidak sahaja memberi fungsi kepada pembangunan sosial dan ekonomi, malah terhadap pembangunan agama. Fungsi bahasa terhadap pembangunan agama ialah pada peranannya dalam penyebaran dakwah di mana bahasa menjadi alat dalam perhubungan dan komunikasi. 

Sebenarnya, apabila Allah mengiktiraf kedudukan bangsa-bangsa di dalam kehidupan manusia sebagai satu fenomena dalam kejadian alam, ia secara langsung adalah perakuan terhadap segala ciri yang menjadi asas dan identiti bangsa tersebut termasuklah bahasanya. Oleh kerana itu, `bahasa ialah jiwa bangsa”sebagaimana terungkap dalam pepatah berfikir masyarakat Melayu.

Peranan bahasa dalam penyebaran dan pengukuhan agama juga diperteguhkan oleh Nabi Muhamad di mana baginda menganjurkan kepada para ilmuwan dan agamawan supaya dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga tahap dan keupayaan berbahasa masyarakat.

Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu -Islam, bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun telah diketahui bahawa sumber ajaran agama Islam adalah bahasa Arab (memandangkan al-Quran dan hadis-hadis Nabi adalah diungkap dan dicatatkan dalam bahasa Arab), namun, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu bukan menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiyyah ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara penyebaran ajaran Islam.

Pandangan hidup Islam yang unik, abstrak dan tinggi telah berjaya tercerna dalam minda dan sanubari masyarakat Melayu -Islam sehingga telah berjaya merubah watak serta keperibadian mereka disumbangkan oleh pengukuhan bahasa Melayu sebagai alat penyebaran dakwah.

Sekiranya tidak kerana peranan dan fungsi bahasa Melayu, adalah terlalu sukar bagi masyarakat Melayu-Islam pada waktu itu menghayati teori kewujudan Tuhan, kekuasaanNya terhadap sekelian makhluk dan memahami realiti alam metafizik sebagaimana terkandung dalam perbahasan yang disebut dalam istilah ilmiah sebagai persoalan ontologi dalam pemikiran Islam. 

Begitu juga dengan persoalan-persoalan yang dikenal sebagai aksiologi iaitu perbahasan tentang nilai baik dan buruk serta implikasinya sebagai satu bentuk kod amalan kehidupan dan perbincangan tentang epistemologi yang berhubung dengan hal ehwal sumber hukum dan kaedah pembentukan ilmu pengentahuan dalam ajaran Islam.

Namun, peranan bahasa Melayu yang difungsikan dengan penuh kreatif, indah dan mudah telah membolehkan persoalan ilmu tinggi dan abstrak dalam tamadun pemikiran Islam telah dibahaskan sempurna sekali oleh para ilmuwan dan agamawan bagi memperbaharui pandangan hidup dan watak umat Melayu-Islam terdahulu yang memang diketahui terpengaruh dengan amalan tradisi yang mundur. Menerusi bahasa Melayu teras pemikiran dan kebudayaan umat Melayu-Islam menjadi utuh dan kukuh sekali sehingga ke hari ini walaupun terpaksa melalui proses jatuh bangun sejarahnya yang pelbagai terutama akibat penjajahan.  

Tentu kita semua pernah mendengar tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud al-Fatani, Arshad a-Banjari., Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munshi serta lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu.

Kitab-kitab karangan mereka ini kini telah menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam yang jelas membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai dalam bidang pemikiran Islam dan menjadikan bahasa Melayu sebagai alat penyebarannya. Peranan  mereka dalam usaha pengungkapan pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh kini.

Hal ini harus menjadi iktibar oleh para pendakwah masa kini dalam ikhtiar mereka memacu kecemerlangan umat Melayu-Islam di era globalisasi yang serba mencabar. Pengajaran yang jelas ialah betapa fungsi dan peranan bahasa setempat begitu penting dan mustahak sekali dalam memastikan ketahanan agama dan kecemerlangan umat.

Untuk itu, bahasa Melayu harus diberi tumpuan penguasaannya serta keutamaan yang tersendiri oleh para ilmuwan dan agamawan tanahair dalam usaha kita meningkatkan keberkesanan penyebaran ajaran Islam dalam masyarakat. 

Dalam hubungan ini, adalah amat mustahak untuk kita meningkatkan bahan dakwah dalam bentuk penerbitan yang bersifat tradisional seperti buku-buku dan majalah  atau menerusi bahan-bahan elektronik yang menjadi sebahagian dari teknologi masyarakat moden kini. Ini termasuklah bahan-bahan audio-vidual, cekera padat, perisian, komik, filem, drama, dokumentari atau seumpama dengannya.

Menerusi usaha ini, ia boleh membantu di dalam menjana daya kreatif baru terhadap ajaran Islam dan pemikirannya agar sentiasa segar dan releven dengan perkembangan semasa masyarakat yang berubah.  Hal ini boleh dijayakan memandangkan kualiti dan kepakaran di bidang penerbitan, percetakan, teknologi maklumat dan pefileman dari kalangan masyarakat Islam semakin  kian bertambah yang terlatih.   Kesemua sumber daya manusia ini adalah eset terpenting umat yang harus digembeleng bagi tujuan peningkatan kegiatan dan daya usaha dakwah di negara ini yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara perhubungan.

Cita-cita ini boleh kita lakukan sekiranya semua pihak memberi keutamaan semula terhadap bahasa Melayu dengan menyakini akan kepentingannya dalam proses penyebaran dakwah dan pembangunan agama.

About these ads
This entry was posted in Budaya, Dakwah, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

One Response to MEMPERKASAKAN DAKWAH MENERUSI BAHASA MELAYU

  1. sunthary says:

    pkik,l

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s