INSAN DAN KEBUDAYAAN ASAS SEBUAH PERADABAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Malik Bennabi (1905-1973) ialah sarjana Muslim yang paling konsisten membahaskan kepentingan usaha pembangunan insan. Ini kerana insan atau manusia merupakan modal terpenting dalam proses pembinaan sesebuah peradaban.

Dalam sebuah bukunya, `Syarat-syarat Kebangkitan’ (Shurut an-Nahdah, Dar al-Fikr, 2000), Malik meletakkan `insan’ sebagai unsur paling utama yang harus diberi tumpuan pembinaannya terlebih dahulu kerana insanlah syarat paling aktif yang sebenarnya membina dan menghasilkan tamadun. Syarat-syarat lain yang terlibat dalam proses ini ialah bumi dan masa. Namun, keduanya unsur pasif yang bergantung sepenuhnya kepada inisiatif insan untuk dimanafaat dan dikendalikan.

Menurut Malik, peradaban sebenarnya terhasil dari ciptaan dan kreativiti diri warga bangsa itu sendiri. Sesebuah peradaban yang dibina hasil dari ikhtiar dan kepakaran warga asing bukanlah peradaban dalam erti yang sebenarnya. Ia adalah sebuah peradaban ciplakan yang tidak wajar dibanggai sama sekali.

Ini kerana menurut Malik, bangsa itulah sendiri yang harus menghasilkan produk-produk ketamadunannya sehingga terbinalah sebuah peradaban yang boleh dibanggai oleh sejarahnya. Adalah suatu yang amat pelik bagi Malik apabila kedapatan sesetengah bangsa yang begitu berbangga dengan sesuatu pencapaian ketamadunan dalam negaranya, pada hal pencipta produk-produk peradaban tersebut ialah orang-orang asing yang diupah.

Oleh kerana itulah, agenda pemerkasaan insan merupakan satu bentuk pelaburan modal paling berharga. Visi utama dari agenda ini ialah bagi membina keupayaan (capacity building) setiap warga bangsa membangun sebuah peradabannya sendiri.

Membina keupayaan dalam diri insan memerlukan proses pemberdayaan elemen kemanusiaanya. Elemen tersebut meliputi ruang lingkup wawasan dan idea-idea dari dalam mindanya, kefahaman tentang kegunaan dan fungsi alam di persekitarannya, disiplin diri dalam mengurus pergerakan waktu serta ketrampilan diri dalam bentuk teknik-teknik kontemporari lagi sofistikated.

Malik menganjurkan agar agenda pemberdayaan keupayaan insan dimulai dengan usaha `pembinaan budaya’ (cultural construction). Dalam rujukan khusus terhadap tamadun Islam yang telah runtuh, beliau mengesyorkan agenda `pembinaan semula budaya’ (cultural reconstruction).

Beliau menganjurkan langkah ini kerana mengumpamakan keadaan tamadun Islam hari ini seperti di peringkat awal perkembangan dan pertumbuhannya di era Nabi Muhamad SAW. Memandangkan beliau mempercayai bahawa pergerakan tamadun manusia bersifat putaran roda, maka, tamadun Islam masa kini berada di titik awal permulaannya semula setelah mengalami kemunduran dan kejatuhannya yang parah kini. Untuk itu, proses pembinaan semula peradaban Islam hendaklah bermula dengan membina semula kebudayaan umatnya yang kini semakin luntur pegangannya.

Sekiranya senario sosio-budaya masyarakat Malaysia hari ini dijadikan rujukan, pembentukan peradaban Malaysia sebagai satu cita-cita baru bagi segenap lapisan bangsa yang majmuk, maka proses permulaannya harus diasaskan menerusi langkah dan usaha pembinaan kebudayaan baru.

Dalam hubungan proses pembinaan peradaban Islam, menurut Malik, khazanah nilai dan kepercayaan dari sumber al-Quran dan al-Sunnah yang bersifat universal dan progresif harus menjadi asas utama dalam proses pembinaan budaya.

Pada era awal kebangkitan Islam di zaman Nabi Muhamad SAW, terdapat dua nilai utama yang menjadi dasar seruan pembinaan kebudayaan baru masyarakat Arab iaitu prinsip keadilan dan kesamarataan yang terjelma menerusi dua tunjang terpenting dalam mesej ajaran Islam iaitu konsep yang dikenali sebagai Tauhid dan Ummah.

Konsep tauhid atau keesaan Tuhan sebenarnya merupakan jaminan akan tertegaknya prinsip keadilan kepada semua masyarakat tanpa mengira anutan dan keturunan. Ini kerana, tiada keadilan yang lebih hakiki dan tertinggi selain keadilan Tuhan.

Manakala konsep ummah telah merobohkan segala bentuk halangan ke arah kesamarataan manusia samada ia bersifat fizikal seperti warna kulit, darah keturunan, bahasa dan tradisi setiap bangsa. Konsep ini meletakkan seluruh warga manusia sebagai satu Ummah apabila mereka secara sedar dan setia taat dan patuh terhadap prinsip Tauhid.

Dua dasar kebudayaan ini merupakan tema terpenting seruan Nabi Muhamad SAW dalam proses pengislahan dan pembaharuan tatacara hidup masyarakat Arab pada waktu itu sehingga telah melahirkan satu komuniti baru bangsa Arab yang bersatu dan utuh.

Pengalaman dalam sirah Nabi Muhamad SAW ini wajar dijadikan asas dalam rangka membangunkan kebudayaan Malaysia sebagai penjana pembinaan peradaban. Untuk itu, dasar kebudayaan Malaysia harus memastikan prinsip keadilan dan kesaksamaan harus terjelma dalam segala ruang kegiatan hidup warga bangsanya.

Dalam konteks negara ini, perlembagaan sebagai kuasa tertinggi yang menjamin keadilan dan kesaksamaan warga bangsa harus dipertahankan dan didokong oleh instrumen-instrumen pemerintahan, kehakiman dan badan perundangan secara tegas dan telus dan berwewenang.

Sebenarnya, prinsip keadilan dan kesaksamaan sebagai satu dasar induk kebudayaan sekiranya dimanifestasikan secara tegas dan menyeluruh akan menumbuhkan cabang-cabang budaya baru yang akan melengkapi proses pembinaan peradaban bangsa.

Antaranya seperti budaya bermuafakat dan hormat menghormati antara sesama warga sebagai cabang kebudayaan terbentuk apabila setiap warga bangsa berasa dirinya sebagai satu keluarga yang tiada perbedaan taraf dan darjat.

Budaya kreatif dan inovatif pula terbit dari perasaan bebas setiap warga bangsa yang tidak akan berasa takut mengemukakan inisiatif dan kelainan dalam pandangan dan ciptaan kerana dia dijamin oleh keadilan perundangan.

Budaya ilmu berkembang dengan pesat kerana interaksi dinamik secara bebas para ilmuwan. Budaya musyawarah dalam sistem politik dan pentadbiran subur kerana setiap warga berasa setiap idea dari fikiran mereka setanding dengan sesiapa sahaja kerana kesaksamaan taraf.

Pembentukan kebudayaan baru yang positif dan progresif dalam amalan hidup warga bangsa secara langsung merencatkan budaya-budaya negatif dan buruk yang menghambat kebangkitan bangsa.

Antaranya seperti budaya korupsi yang wujud kerana perasaan selamat dari hukuman yang dirasai boleh dimanipulasikan. Budaya takut menanggung risiko terhakis kerana yakin dengan dokongan sistem yang adil yang sentiasa mendokong inisiatif baru. Sifat suka meniru cara hidup asing luntur dan diganti dengan semangat cinta terhadap budaya dan tradisi sendiri.

Menerusi proses interaksi antara insan dengan persekitaran dan ruang waktunya secara berterusan di dalam satu kehidupan budaya yang adil lagi saksama, potensi, bakat dan ketrampilan semulajadi yang wujud dalam diri dapat diupayakan secara maksima dan terarah.

Bermula dari sinilah, insan merasai harga dirinya sebagai satu bentuk modal paling kreatif dan istimewa yang perlu dimanafaatkan sepenuhnya demi kepentingan dan kesejateraan sejagat. Setiap insan menyedari dengan penuh insaf fungsi dan peranan yang harus dimainkan sebagai agen pembina dan pencipta peradaban bagi kecemerlangan bangsanya.

This entry was posted in Kenegaraan, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s