DIALOG MALAYSIA-AUSTRALIA BERTAMBAH RANCAK

Oleh Muhamad Razak Idris

Dialog di antara Australia dan Malaysia bertambah rancak dengan tertubuhnya Australia-Malaysia Institute (AMI) atau Institut Australia-Malaysia. Institut ini telah diistiharkan penubuhannya pada 7 April 2005 oleh Alexander Downer, Menteri Luar Australia bersempena dengan lawatan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke Australia. Tetapi, pelancaran rasmi penubuhan institut ini telah dilangsungkan pada 28 Mac 2006.

Menurut Alexander Downer dalam ucapan pelancaran institut ini, tertubuhnya AMI menjadi satu titik tolak penting dalam konteks hubungan dua hala Australia-Malaysia pada masa kini dan hari depan. Kepentingan AMI ialah sebagai mekanisme pemangkin dalam pengukuhan hubungan peringat `individu sesama individu’ antara rakyat kedua-dua buah negara. Menurut beliau, hubungan peringkat ini masih perlu dipertingkatkan dengan lebih agresif terutama dari sudut kefahaman dan kerjasama.

Penekanan ini diberikan kerana menurut En. Downer, Australia dan Malaysia telah menikmati tahap perhubungan dan kerjama yang sungguh akrab pada peringkat `kerajaan sesama kerajaan’ sepanjang sejarah perkembangan negara masing-masing. Ini dapat dilihat menerusi keberkesanan program kerjasama pendidikan yang dinamakan `Colombo Plan’ di mana hampir lebih 15,000 pelajar dari Malaysia telah mendapat peluang melanjutkan pengajian di Australia.

Bidang lain ialah pertahanan di mana kerajaan Australia dan Malaysia merupakan antara dua negara yang terlibat dalam kerjasama pertahanan yang dinamakan `Five Power Defense Arrangement’. Pada tahap sekarang, hasil kerjasama ini, kerjasama pertahanan Australia dan Malaysia bukan sahaja berkongsi kepakaran menerusi pertukaran pegawai dan latihan, malah kini bersifat `day-to-day basis’. Dalam kata lain, kerjasama di bidang ini terlalu akrab sehingga urusannya mencapai tahap perhubungan harian.

Begitu juga di bidang ekonomi. Menurut En. Downer, tahap kerjasama masih agak lemah namun pada masa terdekat, kerajaan Australia sedang berusaha mengadakan kerjasama perdagangan bebas dengan Malaysia. Beliau tidak menolak kemungkinan kelemahan ini berpunca dari beberapa salah faham dalam proses turun naik hubungan politik kedua-dua negara beberapa dekad sebelumnya.

Beliau mengakui bahawa hubungan politik Malaysia dan Australia di era Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad agak `renggang’ kerana perbezaan pandangan dan sikap dalam isu-isu tertentu. Tetapi beliau mengingatkan bahawa tahap tersebut bukanlah satu-satunya asas dalam kita membuat penilaian terhadap sejarah perhubungan kedua-dua negara sejak era 50an dan 60 an lagi yang begitu intim dan akrab.

Dalam hubungan ini beliau mengimbau bagaimana Robert Menzies, Perdana Menteri Australia waktu itu yang begitu menghormati dan mengasihi Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama, apabila memberikan ucapan dan bicaranya tentang Malaysia. En Downer menjelaskan bahawa hubungan politik antara Australia dan Malaysia telah menuju `era baru’, semenjak tahun 2005 dibawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ia tergambar dengan begitu terkesan semasa lawatan Perdana Menteri ke Australia pada bulan April 2005 apabila beliau merasakan sebagai lawatan terbaik yang pernah Australia alami.

Untuk itulah penubuhan AMI begitu penting dan bermakna sekali dalam konteks hubungan dua hala kedua negara di era baru ini. Ia merupakan satu peluang yang cukup subur bagi usaha menggerakkan perhubungan di peringkat individu antara kedua-dua rakyat. Dalam kata lain, ruang-ruang perhubungan dan persefahaman antara individu-individu hendaklah dibuka seluas-luasnya. Kerjasama kebudayaan, keilmuan, kesukanan dan kegiatan sosial harus diperkembangkan bagi membuka penglibatan yang meluas segenap individu kedua-dua negara.

Menerusi perhubungan dan pertemuan yang berterusan, ia secara langsung akan menanggalkan jurang prejudis dan salah faham. Ia secara langsung menyuburkan rasa hormat dan toleransi antara rakyat negara. Ini secara jangka panjang akan memudahkan kerjasama di peringkat yang lebih tinggi melibatkan hal ehwal politik, ekonomi dan keselamatan memandangkan asas keyakinan baru yang terbina dari awal antara individu. En Downer menceritakan bahawa hubungan beliau dengan Dato’ Seri Syed Hamid Albar, Menteri Luar Malaysia bermula semenjak mereka sama-sama bersekolah di Geelong Grammar School lagi. Persahabatan tersebut telah membantu secara tidak langsung apabila mereka berurusan secara rasmi sebagai Menteri Luar kedua-kedua negara.

Semenjak penubuhannya, beberapa aktiviti telah dijayakan AMI dalam rangka memperluaskan jaringan rakyat kedua-dua negara. Antara yang amat berkesan sekali ialah lawatan muhibbah dan pendidikan pemimpin pertubuhan belia Islam dari JAKIM, Pemuda UMNO, ABIM dan IKIM ke Australia pada bulan April 2006 yang lalu. Menerusi lawatan tersebut, wakil-wakil pertubuhan Islam telah diberi peluang berdialog secara langsung dengan individu, institusi dan agensi berpengaruh di Australia bagi memperoleh gambaran yang tepat terhadap kedudukan masyarakat Muslim di Australia dan sikap kerajaan Australia terhadap perkembangan mereka. Program terdekat yang boleh dimanafaatkan warga Malaysia kelolaan AMI ialah Australia Malaysia Fellowship, penajaaan bagi kegiatan penyelidikan isu-isu berkaitan Malaysia dan Australia bagi tahun 2006 dan 2007.

Sesungguhnya perkembangan ini amat positif sekali dalam konteks dialog antara kedua-kedua negara. AMI yang beroperasi dibawah Kementerian Luar dan Perdagangan Australia perlu dilihat sebagai satu wadah dan peluang terbaik bagi merancakkan dialog yang lebih akrab antara individu, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan kedua-dua negara. Ia seumpama `jambatan’ masa depan yang akan menyumbang kepada keakraban hubungan kedua-dua negara ke arah perkongsiaan manfaat yang lebih bermakna bersama. Maklumat lanjut tentang AMI boleh didapati menerusi laman web: www.dfat.au/ami/.

(Sumber tulisan berdasarkan teks ucapan pelancaran AMI oleh Menteri Luar Australia (kini bekas) yang telah diberikan oleh Pn Elina, pegawai hal ehwal AMI, Kementerian Luar Negara Australia. Tulisan ini telah disiapkan pada tahun 2006).

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s