MEMBINA MORAL BARU POLITIK MALAYSIA

Oleh Muhamad Razak Idris

Agenda terpenting kepimpinan baru negara ialah membina ‘moral baru’ di dalam tradisi perpolitikan negara ini. Ini kerana, moral perpolitikan sebelum ini ternyata sudah hilang daya seri dan tarikannya kepada masyarakat terbanyak sebagai tergambar di dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu.

Membina moral baru dalam konteks ini merujuk kepada usaha dan langkah ke arah perubahan dan pembaharuan di dalam pengamalan sesuatu dasar, pendekatan, sikap dan tauladan perpolitikan negara. Usaha dan langkah membina moral baru politik ini suatu keutamaan memandangkan pilihanraya umum yang lalu secara hakikinya adalah satu bentuk pertembungan moral.

Ini kerana, kritikan dan ketidakpuasan hati masyarakat terbanyak terhadap kepimpinan BN pada masa kini tertumpu kepada amalan-amalan politik kepimpinannya yang dilihat tidak mencapai satu tanda aras yang tinggi yang sejajar dengan perubahan dan pencapaian kualiti moral yang sedang dihayati oleh masyarakat terbanyak kini.

Moral masyarakat Malaysia kini berkembang menerusi dua kerangka nilai iaitu pertama, yang digerakkan oleh pengaruh kebangkitan agama dan kedua, pengaruh perkembangan sistem demokrasi dunia semasa.

Perkembangan agama Islam adalah faktor terpenting yang telah merubah kualiti nilai masyarakat Melayu secara khusus di mana kayu ukur terhadap segala persoalan berkaitan kehidupan ini ditanggap menerusi perspektif keislaman.

Pada masa kini, agama Islam bukan lagi suatu ajaran yang terkongkong di dalam lingkungan amalan keperibadian. Perbahasan agama Islam telah merentasi kepada hal ewal yang berhubung dengan kenegaraan dan ketamadunan. Ini secara langsung meliputi hal ehwal pembangunan sosial, ekonomi dan pemerintahan.

Aspek kepimpinan merupakan antara persoalan pokok di dalam debat kenegaraan Islam kerana kepimpinan yang berkualiti dari sudut ketrampilan dan moral akan membawa kepada kebahagian penduduk. Islam menganjurkan masyarakat memilih pemimpin yang amanah, adil, pemurah dan rendah diri. Ini adalah antara nilai-nilai yang menjadi kayu ukur pandangan mereka di dalam menentukan pemilihan kepimpinan.

Dengan sebab demikianlah, apabila perbahasan tentang berleluasanya gejala rasuah di dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara ini didedahkan kepada pengentahuan umum, erti dan makna perbahasan tersebut mudah ditanggapi dan difahami oleh masyarakat terbanyak memandangkan kualiti nilai ajaran keislaman yang melihat amalan rasuah sebagai satu perbuatan jijik telah menyebati di dalam diri masyarakat. Oleh kerana itu, langkah penolakan terhadap kepimpinan yang ditanggap mengamalkan rasuah mudah dilaksanakan kerana ia adalah sebahagian dari komitmen keagamaan dan moral.

Keadaan yang sama akan berterusan di mana politik Malaysia pada masa akan datang, di mana kualiti moral dan nilai keislaman masyarakat akan terus menjadi faktor penentu terhadap corak pemerintahan negara terutama di dalam penentuan pemilihan kepimpinan yang ingin ditampilkan di peringkat nasional.

Di samping hal tersebut, masyarakat Malaysia juga terdedah secara terbuka dengan pengaruh dunia antarabangsa di dalam aspek pengamalan pentadbiran dan pemerintahan. Umumnya masyarakat dunia kini sedang menuju kepada pengamalan sistem pemerintahan yang berteraskan sistem demokrasi menyeluruh.

Sistem ini tidak sahaja melibatkan pengamalan pengundian di dalam pemilihan wakil-wakil politik, tetapi juga dari aspek kebebasan di dalam menyatakan pendapat dan pandangan, ketelusan masyarakat di dalam memperoleh maklumat-maklumat kerajaan, keseimbangan berita dari sumber media, kebebasan sistem perundangan dan pemilihan wakil-wakil ke majlis kerajaan tempatan. Kesemua ini adalah antara amalan-amalan yang melengkapi sistem perlaksanaan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.

Pengamalan demokrasi menyeluruh ini di sesetengah negara memang telah menghasilkan natijah yang berkesan tidak sahaja terhadap kestabilan politik malah kemakmuran ekonomi. Ini kerana ia memberi satu ruang penglibatan yang luas kepada masyarakat terbanyak di dalam mempengaruhi rentak pembentukan dasar oleh kepimpinan politik tertinggi. Ia juga membentuk sistem perimbangan kuasa yang kreatif antara pihak bawahan dan atasan. Keterbukaan dan kebebasan juga telah menghapuskan prasangka dan menghalang sebarang bentuk eksploitasi samada dalam bentuk salahguna kuasa atau perundangan terhadap hak-hak warganegara. Ini secara langsung memupuk keyakinan dari rakyat tempatan dan para pedagang luar terhadap institusi politik dan mekanismenya di dalam memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua pihak.

Sistem demokrasi menyeluruh ini amat berpengaruh terutama terutama terhadap kelompok menengah dan tinggi negara kita kerana pendedahan mereka dengan sumber berita dan pengalaman berada di negara-negara Barat. Kelompok ini walaupun kecil dari sudut peratusan penduduk, namum pengaruhnya amat meluas memandangkan kebanyakan mereka boleh mempengaruhi bentuk pandangan umum masyarakat menerusi pengucapan dan penulisan yang menjadi sumber rujukan dan perbahasan.

Pemahaman terhadap budaya dan rentak masyarakat Malaysia pada masa kini dan akan datang banyak bergantung kepada sejauhmana kepimpinan politik negara dapat mendepani dan menangani kualiti baru moral masyarakat Malaysia yang ditunjangi oleh nilai-nilai keislaman dan kemodenan yang sedang berkembang dengan cukup drastik yang digerakkan menerusi kedua-dua faktor tersebut.

Impak kualiti moral masyarakat Malaysia ini dapat dilihat menerusi tindak balas mereka terhadap isu-isu kenegaraan yang berkembang pada masa kini. Sebagai contoh, teras perjuangan berasaskan kaum secara melulu yang menjadi asas di dalam budaya perpolitikan Malaysia sejak sekian lama telah hilang serinya kini dan sudah tidak mendapat tarikan lagi.

Sandaran perjuangan sedemikian bukan ditanggap salah, malah pada keadaan tertentu masih dituntut dan diperlukan, tetapi pengamalannya harus disandarkan kepada nilai-nilai moral yang tinggi. Ini kerana prinsip keadilan dan pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak bertolak ansur terhadap langkah-langkah yang boleh membawa kepada penganiyaan terhadap kaum-kaum tertentu kerana prinsip penjagaan kehormatan insan terlalu tinggi nilai moralnya.

Di dalam persoalan yang sama, nilai-nilai moral demokrasi menyeluruh menyeru perlaksanannya bersifat telus dan terbuka bagi mengelakkan dari sebarang unsur salahguna kuasa dan manipulasi oleh golongan yang berkepentingan.

Pada masa kini, perjuangan-perjuangan yang bersifat perkauman tidak lagi diterima secara membuta tuli oleh masyarakat terbanyak kerana kualiti moral terkini menghalang masyarakat dari terjebak kepada sikap penganiyaan dan penyalahgunaan kekuasaan memandangkan kuasa adalah amanah yang sungguh berat.

Keadaan yang sama dapat diperhatikan di dalam persoalan yang berkaitan dengan ketelusan pentadbiran, kebebasan sistem perundangan dan agenda pembasmian kemiskinan. Perbahasan dan debat tentang isu-isu ini ternyata memberi pentunjuk yang cukup jelas betapa masyarakat Malaysia kini sedang menganut moral baru yang menepati kehendak dan tuntutan nilai-nilai kesejagatan sejajar dengan tuntutan keagamaan dan kemodenan semasa.

Inilah cabaran utama kepimpinan negara masa kini di mana mereka sedang berdepan dengan satu situasi moral baru masyarakat yang menuntut perubahan dan pembaharuan yang drastik di dalam pengamalan dan perlasanaan dasar pemerintahan.

Cabaran ini dapat diatasi sekiranya kepimpinan baru negara memberikan tumpuan dan kesungguhan yang serius di dalam membina satu moral baru politik yang menampilkan satu corak pemerintahan yang berusaha memenuhi tuntutan kualiti moral terkini masyarakat Malaysia.

Usaha ini harus bermula dengan perubahan sikap kepimpinan terlebih dahulu di mana mereka perlu menunjukkan nilai-nilai moral yang tinggi dari sudut keperibadian dan tauladan kepimpinan. Nilai-nilai susila keislaman dan kemelayuan hendaklah disebatikan di dalam segala gerak langkah kepimpinan.

Masyarakat kita amat mengambil berat terhadap sifat merendah diri, lemah lembut di dalam bertutur kata, ikhlas di dalam menangani permasalahan, tidak berselindung dan bermuka-muka dan sentiasa menunjukkan sifat bermaafan di dalam serba keadaan. Mereka juga amat senang dengan pemimpin yang tidak gemar menunjuk-nunjuk kehebatan ilmu, keturunan dan harta mereka. Mereka suka kepada pemimpin yang sentiasa berlapang dada dan berusaha meningkatkan segala kelemahan yang dimiliki.

Sifat-sifat kepimpinan mulia ini hendaklah pula tertonjol di dalam perlakuan politik terutama di dalam proses membuat keputusan-keputusan penting. Alasan yang baik, rasional dan ilmiah hendaklah dikemukakan kepada pengentahuan umum tanpa rasa takut atau dilihat cuba berselindung atau cuba bermuka-muka. Masyarakat kita tertawan kepada watak pemimpin yang ikhlas dan berlapang dada. Oleh yang demikian, segala bentuk pandangan yang bertentangan dan kritikan yang pedas harus dijawab secara halus, berlapik dan beradab. Jangan sesekali cuba mencabar kepandaian masyarakat terbanyak dengan menyampaikan hujah-hujah yang boleh memperlekehkan kecerdikan naluri mereka atau sehingga masyarakat merasakan diri mereka diperbodohkan.

Sehubungan dengan itu, antara langkah terpenting di dalam menangani persoalan-persoalan ini perlu dimulakan dengan proses pemugaran idea-idea baru yang menyeluruh dari segenap peringkat kelompok masyarakat. Pandangan dari segenap pihak perlu didengari secara saksama. Debat terbuka berhubung isu-isu utama negara perlu digalakkan samada menerusi agensi kerajaan atau media utama. Kumpulan-kumpulan pakar penilai hendaklah dibentuk serta merta untuk mendekati kelompok-kelompok yang mempunyai hubungkait rapat dengan hal ehwal pekembangannya.

Data dan maklumat yang sebenar hendaklah dihebahkan kepada pengentahuan masyarakat. Media arus bertentangan hendaklah digalakkan beroperasi supaya pandangan-pandangan kritis dapat disalurkan secara professional. Tindakan-tindakan terhadap mereka yang melanggar batas-batas perundangan hendaklah dilihat dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Inilah antara bentuk-bentuk moral baru politik yang perlu dibina dengan segera oleh kepimpinan baru negara. Moral baru politik juga harus berusaha menampilkan citra kerajaan sebagai satu perkumpulan pentadbir yang bersifat mesra masyarakat. Kerajaan dan rakyat tidak harus sama sekali dilihat dan dirasai seperti di dalam keadaan bermusuhan dan bertentangan

Kerajaan hendaklah menghormati keputusan rakyat di dalam pemilihan mereka di dalam menentukan barisan kepimpinan nasional dan mereka tidak harus mendapat hukuman atas pemilihan tersebut kerana itu adalah citra penilaian terhadap kedudukan dan prestasi kerajaan selama ini. Di dalam kualiti moral baru perpolitikan negara yang ingin dibina, keputusan rakyat perlu ditanggap sebagai hak-hak mereka yang perlu dihormati.

Oleh kerana itu, pengesyoran supaya dilakukan penarikan dan pembatalan terhadap projek dan program pembangunan yang telah dirancang sebelum ini sebagai hukuman kepada rakyat kerana telah memilih kerajaan yang berlainan adalah antara contoh sikap dalam bentuk pengucapan dan tindakan yang diwarisi dari moral lama politik yang telah ditolak. Sikap sedemikian tidak sahaja menunjukkan sifat sombong dan angkuh pemimpin terhadap masyarakat tetapi berterusan mewujudkan suasana pertembungan dan perbalahan antara kerajaan dan rakyat.

Selagi rakyat merasakan bahawa mereka kini sedang bermusuhan dengan kerajaan, maka masa depan kerajaan tidak akan berpanjangan memandangkan, secara hakikinya, kuasa yang dimiliki kerajaan adalah kuasa yang diperoleh dari rakyat.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Politik. Bookmark the permalink.

4 Responses to MEMBINA MORAL BARU POLITIK MALAYSIA

  1. zahran says:

    demokrasi wajib berlangsung dengan baik di negara ini tanpa membezakan siapa yang memerintah kerajaan pusat dan siapa yang menguasai negeri. ada rakyat yang mendapat nikmat dan ada yang hidup melarat. biar adil. walau siapa pun pemerintah di negara ini mereka adalah harapan rakyat. kuasa di tangan rakyat.

  2. sharon shaliny says:

    tiada kefahaman anda

  3. shaliny says:

    tak faham lah apa yang tulis

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s