ISLAM MENENTANG FAHAMAN PERKAUMAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Masyarakat Islam di Malaysia, terutama umat Melayu hendaklah menggelakkan diri dari terjebak dengan `fahaman perkauman’ atau racism. Hal ini perlu ditegaskan kerana ia boleh menyumbang kepada salah faham masyarakat bukan Islam terhadap ajaran suci agama Islam.

Sebagaimana kita semua telah ketahui, nilai `persamaan’ ialah ajaran yang paling tonggak dalam agama Islam. Fahaman yang meletakkan kedudukan seseorang individu atau kaum mengatasi yang lain ditolak oleh ajaran agama Islam. Atas asas inilah Al-Quran mencabar sikap orang-orang Yahudi yang merasakan diri mereka lebih mulia dari bangsa-bangsa lain, sebagaimana tergambar dalam firman Allah:

` Katakanlah (wahai Muhamad): Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamu sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendak mati ( dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika kamu betul kamu orang-orang yang benar’. (Al-Jumaah: 6)

Namun, ini tidak pula bermaksud bahawa agama Islam menafikan realiti kepelbagaian kabilah, kaum atau puak dalam kehidupan manusia. Hakikat akan kepelbagaian itu pada persepektif al-Quran begitu jelas sebagaimana Allah berfirman:

`Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). (Al-Hujurat: 13).

Akan tetapi, kepelbagaian tersebut tidak lain dari penegasan akan kelainan-kelainan yang terbit dari faktor sosio-budaya, geografi dan tabiat kehidupan. Kelainan-kelainan tersebut pada pandangan al-Quran adalah keunikan yang sungguh mahal sekali sehingga Allah menganjurkan supaya umat manusia saling mengambil manfaat dari kepelbagaian tersebut.

Dalam kaitan ini juga, khazanah pemikiran Islam tidak menolak kepentingan `semangat kebangsaan’ sesuatu kaum sebagai tergambar dalam huraian tentang konsep `assabiyyah’ oleh Ibn Khaldun.

Malah, semangat kebangsaan diperlukan sebagai pemangkin untuk meningkatkan rasa kekitaan dan kesatuan dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam dan luaran sesuatu kaum.

Cuma yang harus dibezakan ialah, semangat kebangsaan atau assabiyyah tersebut tidak dianuti sebagai satu ideologi perkauman sehingga mengatasi prinsip teras ajaran al-Quran tentang konsep persamaan sesama individu dan kaum.

Dalam kata lain, semangat kebangsaan sesebuah kaum tidak harus sehingga menimbulkan perasaan benci kepada kaum yang berlainan atau menajamkan fahaman dan kepercayaan bahawa kaum-kaum lain sebagai hina, tidak bermaruah dan tidak setaraf.

Sekiranya perasaan dan fahaman demikian terbit dari pemikiran dan perlakuan seseorang, maka ia bukan lagi dikenal dalam istilah pemikiran Islam sebagai semangat kebangsaan atau assabiyyah tetapi ia adalah fahaman perkauman atau racism yang ditentang oleh agama Islam.

Perbedaan antara konsep semangat kebangsaan dan fahaman perkauman hendaklah difahami dengan jelas oleh masyarakat Islam di negara kita.

Semangat kebangsaan hendaklah dipupuk di kalangan umat Melayu supaya mereka tidak leka dengan tradisi dan keunikan yang mereka warisi dari khazanah budaya dan nilai turun termurun.

Umat Melayu perlu dibina semangat keangungan empayar Melayu lampau serta daya juang yang ditunjukkan para pahlawan, ulama dan saudagar Melayu silam dalam membina kegemilangan tamadun umat Melayu.

Semangat kebangsaan dalam konteks penghargaan dan mengambil iktibar dan pengajaran dari pencapaian sejarah kaum ini amat mustahak sekali dalam konteks membina generasi baru umat Melayu baru masa depan.

Namun, dalam usaha menanam semula semangat ini, ia tidak harus sama sekali sehingga menjadikan kaum-kaum lain rasa terancam. Umat Islam perlu berhati-hati dalam membuat sebarang penyataan dan seruan supaya kita tidak pula dilihat sedang berusaha menanam rasa sikap untuk bermusuh dengan kaum-kaum lain.

Semangat kebangsaan hendak dilihat sebagai saluran mengukuhkan kekuatan dalaman sesebuah kaum. Sebagai satu bentuk saluran, ia mempunyai batas-batasnya yang tersendiri. Semangat ini secara sendiri tertolak peranannya apabila ia boleh menyumbang kepada perseteruan, kebencian dan pergolakan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Tuntutan kepada umat Islam berhati-hati dalam menggunakan semangat kebangsaan ini ialah bagi memastikan ia tidak menjadi satu sumber fitnah kepada agama Islam. Memandangkan umat Melayu adalah beragama Islam, maka segala perlakuan dan pengucapan orang-orang Melayu dilihat sebagai jelmaan dan gambaran ajaran agama Islam.

Sekiranya kedapatan orang-orang Melayu yang terjebak dengan `fahaman perkauman’, maka ia secara langsung akan memberi kesan negatif terhadap ajaran agama Islam. Integriti agama Islam sebagai ajaran yang diasaskan pada prinsip persamaan akan tercabar oleh fahaman dan amalan perkauman yang diamalkan oleh para penganutnya.

Adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk memperlihatkan nilai-nilai persamaan yang dianjurkan oleh agama Islam di dalam amalan kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Nilai ini hendaklah dijelmakan dalam bentuk pengucapan dan amalan.

Sebenarnya, sejarah perkembangan agama Islam di merata dunia sejak dahulu ialah kerana jelmaan nilai persamaan, keadilan dan kesaksamaan tergambar secara jelas dalam amalan dan tauladan penganut. Malah hal ini boleh ditelusuri dalam konteks perkembangan Islam di rantau Alam Melayu sendiri.

Ajaran Islam yang dikembangkan oleh saudagar Arab dilihat oleh masyarakat Melayu pada waktu itu penuh dengan nilai-nilai persamaan sesama manusia. Pengaruh Hindu-Jawa tidak berupaya menahan tarikan ajaran Islam ini yang begitu indah sekali. Agama Islam berkembang di rantau alam ini penuh keamanan disebabkan oleh tarikan amalan dan tauladan yang ditunjukkan oleh umat Melayu-Islam pada waktu itu.

Hal ini menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Melayu-Islam di Malaysia untuk menonjolkan keindahan ajaran Islam yang amat menekankan nilai persamaan kepada kaum-kaum lain.

Dengan pengukuhan nilai ini, masyarakat bukan Islam pasti akan rasa tenteram dan aman. Ini secara langsung akan memberi gambaran positif terhadap Islam sebagai agama rahmat untuk sekelian makhluk atau rahmatan lil alamin.

This entry was posted in Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

4 Responses to ISLAM MENENTANG FAHAMAN PERKAUMAN

  1. adila says:

    salam perkenalan dari saya…izinkan saya mengutarakan pendapat di sini…🙂

    Masyarakat kita sekarang yang semakin senang dan penuh kemewahan seringkali terlupa…kita semakin cepat terasa dan cepat melatah bila ditegur atau dnasihati..
    kesenangan dan kemewahan juga membuatkan kita sedikit megah dan kekadang mlupakan nilai-nilai murni yang diterpkan oleh agama.

    Ilmu yang tinggi kekadang turut nebjadikan kita lupa diri. Terasa diri kita hebat dan susah untuk menerima pendapat dan teguran orang lain. Kerana pedas dengan cili yang dimakan, kita semakin cepat melenting….

    Sedangkan islam adalah agama yang suci, bersih dan sentiasa mementingkn kebaiakan, keharmonian sesama kita. Islam tidak menyuruh kita berpecah belah…
    malah jauh sekali berpuakan…

  2. SSufian says:

    Saya bersetuju dengan pendapat saudara…

    Sebenarnya saya ialah salah seorang yg rajin mengikuti forum2 politik terutamanya di CariGold…

    kebelakangan ni banyak betul2 isu2 perkauman dicanang… dan akhirnya ia akan menjurus kepada politik yang melibatkan DAP…

    kenapa sebelum ni takde pulak isu2 perkauman sedangkan dalam BN ada MIC dan ada MCA… dan beberapa parti suku kaum lain…

    di kesempatan ini saya meminta izin dari tuan punya blog utk saya kongsikan pandangan saudara bersama rakan2 seperjuangan saya di forum politik CariGold…

    http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?p=1087273&posted=1#post1087273

  3. Yaz Okulu says:

    does anyone knows if there is any other information about this subject in other languages?

  4. Songkok Hitam says:

    Soal perkauman bagi saya tidak timbul asal saja berlandaskan hak dan kebenaran. Yang amat tidak wajar adalah perkauman tidak bertempat. Perkauman bertempatkah kalau setelah 51 tahun merdeka masih ada rakyat yang tidak tahu berbahasa Malaysia yang betul. Tergagap-gagap bercakap bahasa kebangsaan, kerana terlalu mengagungkan bahasa sendiri dalam segala urusan. Sepatutnya tiada tempat bagi mereka di sini. Pertahankan nilai budaya Melayu hak kita bukan asobiah dan mementingkan diri. Ini soal hak. Konsep Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung inilah yang saya katakan biar bertempat tadi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s