SEMANGAT KEMENANGAN AIDILFITRI

Oleh Muhamad Razak Idris

Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam. Ini kerana, sepanjang sebulan yang lalu, umat Islam telah berjaya menempuh ujian ketahanan diri menerusi satu proses pendidikan jiwa yang amat kental sekali. Kejayaan kita menahan diri sepanjang Ramadhan lalu adalah gambaran akan kemenangan menyempurnakan salah satu dari perintah Allah s.w.t. Kita semua telah mencapai kemenangan kerana telah memiliki jiwa yang kental, komited dan teguh sebagai persediaan berhadapan dengan apa juga cabaran dalaman dan luaran yang di masa mendatang.

Sesungguhnya, umat atau bangsa yang kuat dan mampu bertahan di pentas sejarah, ialah umat dan bangsa yang memiliki semangat juang bagi mencapai kemenangan dan kecemerlangan dalam segenap bidang dan aspek kehidupannya. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1-5,

`Sesungguhnya menang, berjaya dan beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khuyuk dalam sembahyangnya, orang-orang yang menjauhi dari perkataan yang tidak berguna, orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluannya’.

Dorongan mencapai kemenangan ini juga tergambar dalam seruan azan yang sentiasa dikumandangkan : Hayya ala al-Solah (Marilah menuju kemenangan). Selama lima kali sehari, umat Islam diingatkan akan matlamat dan cita-cita kehidupannya iaitu untuk tekun, gigih dan tabah bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kemenangan.

Mengapakah semangat kemenangan ini didorong dan ditekankan oleh agama kita?. Ia kerana, kita sebagai umat Islam ialah umat terbaik atau `khayra ummah’. Perihal ini dapat dilihat firman Allah taala dalam surah Ali-Imran:110,

`Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan (maaruf) dan mencegah dari yang keingkaran (mungkar) dan beriman kepada Allah’.

Di dalam ayat ini, Allah menyebut tentang tiga sifat utama umat Islam yang menjadi ciri keunggulannya, iaitu: Pertama, sifat yang suka menyumbang dan mendorong kepada usaha-usaha yang baik (maaruf) bagi kehidupan sejagat dalam apa juga bentuk dan bidang. Kedua, sifat umat Islam yang sentiasa gelisah apabila berdepan dengan perkara atau perbuatan yang menyalahi prinsip-prinsip kebaikan sejagat (mungkar). Umat Islam ialah mereka yang anti kepada kemungkaran dan keingkaran. Dan ketiga, kerana sifat umat Islam yang sentiasa teguh dengan prinsip kepercayaan dan keimanan kepada Allah dalam setiap urusan kehidupannya. Mereka tidak mudah lalai dan alpa dengan desakan kehidupan dunia sehingga sanggup pula menggadai kesucian agama. Dalam kata lain, umat Islam sebagai umat terbaik ialah umat yang sentiasa berusaha untuk memberi khidmat dan bakti kepada seluruh manusia.

Apabila umat Islam mampu menjadi umat terbaik, maka ia secara langsung melayakkan dirinya digelar sebagai oleh al-Quran sebagai ummatan wasata atau umat di tengah. Ini dapat dilihat dalam firman Allah taala dalam surah al-Baqarah ayat 143,

`Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) suatu umat yang ditengah supaya kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul pula menjadi saksi atas kamu’.

Dalam ayat ini, ummatan wasata atau umat di tengah yang dimaksudkan oleh Al-Quran ialah umat Islam berperanan sebagai umat pengimbang atau umat tauladan kepada manusia sejagat yang lain. Mereka menjadi saksi atau pengadil dalam segala urusan hidup manusia supaya tidak menyalahi batas-batas kebaikan dan prinsip kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam sebagai agama yang bersifat sejagat.

Namun demikian, taraf umat Islam sebagai umat terbaik dan umat tauladan ini bersyarat. Ia bergantung sepenuhnya kepada kelayakan yang dimiliki oleh penganut atau umat Islam itu sendiri.

Keadaan umat Islam hari ini nampaknya masih belum melayakkan dirinya digelar umat terbaik, umat tauladan atau umat yang menang. Realiti umat Islam hari sungguh mengecewakan. Semangat kemenangan tidak terjelma dalam cara hidup sebahagian besar penganut Islam untuk melayakkanya digelar sebagai umat terbaik.

Ini dapat dilihat dari segi tahap kemiskinan di mana sebahagian besar negara-negara umat Islam berada pada tahap kemiskinan yang serius. Akibat dari kemiskinan juga, ia telah memberi kesan kepada tahap buta huruf yang masih tinggi dikalangan dunia Islam. Ini secara langsung merencatkan program bagi peningkatan mutu pencapaian sains dan teknologi di kalangan masyarakat.

Dalam masa yang sama, sebahagian negara-negara Islam berhadapan dengan peperangan dan huru-hara akibat permusuhan sesama sendiri dan ancaman dari negara asing. Ini tidak termasuk dalam soal perpecahan dalaman akibat dari perbezaan pendapat dan mazhab. Begitu juga dari aspek urustadbir negara dimana sebahagian negara-negara umat Islam terjebak dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa dengan begitu berleluasa.

This entry was posted in Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s