MERANCAKKAN DIALOG ANTARA AGAMA

Disiarkan di Berita Harian, 5 Jun 2006

Oleh Muhamad Razak Idris

Fenomena novel dan filem Dan Vinci Code yang kini dikatakan telah terjual lebih 50 juta naskhah dan telah mendapat kutipan lumayan pada tayangan di seluruh dunia, merupakan satu titik awal keperluan untuk menggiatkan aktiviti dialog agama di negara kita.

Ternyata, fernomena tersebut telah menunjukkan satu pola baru minat masyarakat terhadap persoalan asas keagamaan seperti aspek `ketuhanan’ dan `kenabian’. Dua perkara ini merupakan aspek tunjang dalam perbahasan kepercayaan kerana ia merupakan punca yang akan memandu keyakinan kepada hakikat kebenaran.


Memahami hakikat `ketuhanan’ dan `kenabian’ juga, dari satu segi merupakan tuntutan naluri setiap manusia. Adalah suatu yang bersifat fitrah untuk setiap manusia mempertanyakan akan persoalan-persoalan ini dan menginginkan jawapan yang sahih lagi padu demi kekukuhan kepercayaan atau aqidah.

Berbeda dengan tradisi masyarakat Islam, nampaknya dalam masyarakat Barat, dua persoalan asasi kepercayaan agama ini seolah masih belum dapat memberikan keyakinan yang sempurna. Sebagaimana tercermin menerusi karya novel dan filem tersebut, hakikat sebenar `Jesus’ (Nabi Isa) yang ditanggap sebagai `Tuhan’ kini kembali dipersoalkan. Apa yang menarik pada kali ini, persoalan tentang hakikat tersebut dibentangkan dalam bentuk ceritera kreatif, bukan menerusi bicara atau teks-teks agama yang bersifat esklusif.

Tanpa ingin membahaskan akan kesahihan jalan cerita dan bukti-bukti yang dipaparkan tersebut, yang pasti, karya tersebut telah berjaya menimbulkan sekurang-kurangnya satu `titik keraguan’ kepada pembaca dan penontonnya akan sejarah `ketuhanan Jesus’ sebagaimana sekian lama diyakini dan difahami oleh penganut agama Kristian. Motif utamanya ialah bagi menyatakan bahawa Jesus atau Nabi Isa ialah manusia yang telah dikurniakan sifat keagungan dan nilai kemanusiaan, satu pandanngan yang dikongsi agama Islam.

Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa perbahasan tentang persoalan tersebut bersifat hal ehwal dalaman masyarakat Kristian, dan tidak ada kaitan dengan masyarakat Islam, namun dari sudut yang lain, tema akan hakikat sebenar Nabi Isa juga adalah salah satu dari tema perbahasan utama dalam al-Quran.

Oleh demikian, penjelasan tentang hakikat sebenar Nabi Isa dari sudut pandangan Islam merupakan satu kemestian malah, dalam suasana kecelaruan yang wujud kini, penjelasannya merupakan satu tanggungjawab keagamaan. Tambahan pula, umat Islam mempunyai kewibawaan khusus memandangkan kisah kenabian Isa merupakan antara tema perbincangan utama kitab suci al-Quran.

Atas asas inilah, keperluan masyarakat Islam merancakkan kegiatan dialog agama dengan menjadi tema kenabian Nabi sebagai tema perbincangan. Keperluan kepada dialog sebegini amat mustahak sekali memandangkan, pertama, masyarakat Islam sendiri kebanyakannya amat rendah tahap pemahaman mereka tentang persoalan asas berhubung dengan tema ini. Malah kedapatan masyarakat Islam masih lagi keliru akan hubungkait Nabi Muhamad dan Nabi Islam dalam tradisi kerasulan. Barangkali persoalan seperti mengapakah harus wujud agama Islam dan agama Kristian yang saling berbeza, malah pada satu keadaan dalam keadaan bermusuhan, sedangkan Nabi Muhamad dan Nabi Isa adalah dalam satu salasilah pengutusan Ilahi yang sama, masih lagi dipertanyakan? Tambahan pula, masyarakat Islam diwajibkan mempercayai Nabi Isa sebagai nabi yang diutuskan oleh Allah sebagaimana nabi-nabi yang lain. Realiti ini menuntut dialog agama yang meluas dianjurkan.

Kedua ialah kerana, persoalan ini telah menjadi satu minat umum sebagaimana terbukti menerusi sambutan terhadap novel dan filem tersebut. Kini, persoalan asas ini bukan lagi perbicaan yang dibicangkan di gereja atau masjid tetapi di ruang umum. Ia juga bukan lagi menjadi tajuk untuk ahli agama sahaja malah masyarakat awam.

Apa yang penting sebagaimana tergambar menerusi fenomena ini ialah masyarakat Barat sendiri telah menunjukkan dengan jelas sifat kekeliruan mereka terhadap kepercayaan yang selama ini diyakini akan sifat `ketuhanan’ yang dimiliki Nabi Isa. Dengan segala penemuan-penemuan yang
cuba ditampilkan bagi membuktikan hakikat kemanusian
Nabi Isa, ia sebenarnya suatu ruang yang baik untuk masyarakat Islam mengemukakan persepktif agama Islam tentang Nabi Isa sebagaimana telah terhurai oleh wahyu. Barangkali, hakikat kemanusiaan Nabi Islam akan lebih terbukti dan diyakini berbanding dengan `bukti-bukti’ penemuan yang telah ditonjolkan pengarang menerusi karya terbabit.

Untuk itulah, pakar-pakar dalam ilmu teologi Islam khususnya perlu kehadapan tampil mengemukan bukti-bukti ilmiah secara meluas bagi mengupas persoalan baru yang sedang menarik minat masyarakat dunia masa kini. Tentu sekali, dengan sandaran ilmu dari sumber wahyu dan hadis
Nabi Muhamad, ia boleh memberikan keyakinan baru akan hakikat sebenar Nabi Isa dalam kerangka pemikiran dan kepercayaan Islam.

Apa yang mustahak juga menerusi dialog agama ialah tujuan bagi mencari titik temu dalam persoalan keagamaan. Hal ini amat mustahak supaya menerusi persepktif yang tepat berhubung dengan persoalan asas agama, ia diharap dapat memberikan satu bentuk persefahaman dalam bentuk kebudayaan. Ia secara langsung menyumbang kepada sifat toleransi dan keakraban hubungan antara penganut kedua-dua agama. Persoalan seperti sejarah awal agama Kristian dan Islam serta hubungkait antara keduanya dalam tradisi beragama masyarakat dunia, sebagai contoh, amat penting difahami secara meluas oleh masyarakat hari ini.

Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan bagi merancakkan dialog antara agama. Penganjuran wacana dan seminar yang dihadiri oleh masyarkat Islam dan bukan Islam boleh dikelolakan. Juga, penerbitan risalah dan buku berkaitan sebagai bahan bacaan awam memberikan kesannya yang tersendiri. Namun, harus diingatkan bahawa adab-adab perbicangan yang tertib perlu diutamakan supaya perbicangan tidak pula membawa kepada keadaan sehingga memburuk-burukan agama lain.

 

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa. Bookmark the permalink.

One Response to MERANCAKKAN DIALOG ANTARA AGAMA

  1. Mujahidah says:

    > Salam alaika.
    > Sedaya yang mungkin usaha dakwah perlu diteruskan..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s