MEMAHAMI INTI RISALAH NABI MUHAMAD

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 18 April 2006

Umat Islam menyambut tarikh kelahiran Nabi Muhamad ke 1427 H dalam suasana terhimpit oleh cabaran kebudayaan dan persekitaran masyarakat yang keliru serta penuh dengan salah tanggapan. Hal ini tergambar menerusi fenomena perpecahan akibat perkelompokan masyarakatnya kepada fahaman dan amalan keagamaan yang membawa kepada pertentangan sesama sendiri. Dalam masa yang sama, prejudis dan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap risalah murni agama Islam kian bertambah menebal dan mendalam.

Selain dari faktor penjajahan budaya asing, punca utama yang lain yang membawa kepada terjadinya keadaan tersebut adalah kerana `kecelaruan pemikiran’ umat Islam sendiri dalam memahami erti, maksud dan kandungan sebenar risalah Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhamad.

Kecelaruan pemikiran ini terjadi kerana kurangnya pemahaman umat Islam tentang maksud `perkara yang yang tetap’ yang merupakan hal-hal yang berupa inti dalam risalah agama dan `perkara yang berubah’ iaitu hal-hal yang berupa bentuk dan manifestasinya.

Perkara yang tetap dalam agama boleh difahami sebagai prinsip, dasar dan tujuan yang ingin dikembangkan oleh agama untuk manusia. Manakala, perkara yang berubah adalah berupa tatacara, amalan dan pendekatan yang digunakan bagi merealisasikan inti sebenar ajaran Islam tersebut. Perkara-perkara ini berubah kerana ia terdedah kepada sifat persekitaran dan ruang kebudayaan masyarakat yang pelbagai dan sentiasa berkembang.

Namun, pada masa kini, seumpama wujud salah faham masyarakat Islam dalam membedakan dua perkara asas tersebut apabila beberapa pola pemikiran terbaru memperlihatkan seolah, perkara-perkara yang berubah itu ialah inti ajaran Islam yang sebenar. Masyarakat seperti keliru apabila mula menanggapi Islam berasaskan bentuk, label atau manifestasinya yang mudah dilihat menerusi perlakuan, penampilan dan ritual keagamaan individu dan perkumpulan.

Kesannya ialah perkelompokan masyarakat Islam kepada bentuk yang dikenal sebagai `Islamik’ dan `tidak Islamik’, yang ditentukan pada zahir perwatakan, pengucapan dan persembahan luaran atau bentuk. Apa yang amat merisaukan ialah, sifat mengutamakan perkara-perkara yang bersifat bentuk dan manifestasi agama itu telah menutupi pula usaha mendalami `inti dan kandungan’ sebenar risalah agama. Inilah antara permasalahan kecelaruan pemikiran masyarakat Islam hari.

Kini, perkelompokan masyarakat Islam terpecah kepada beberapa namanya yang tersendiri seperti istilah, `Islam tradisional’, `Islam liberal’ dan `Islam fundamentalis’. Walaupun ada sesetengah berpendapat nama-nama ini adalah ciptaan sarjana Barat, namun, kita tidak harus menafikan bahawa penamaan tersebut dilakukan berasaskan realiti sosial masyarakat Islam sendiri yang telah terpecah dengan begitu jelas dari segi bentuk pengamalan dan pembawaan keagamaan mereka.

Sejak akhir-akhir ini juga, fenomena perkelompokan masyarakat Melayu-Islam di abad lalu yang lebih dikenali sebagai aliran `Kaum Tua’ dan `Kaum Muda’ mula kembali rancak diperdebatkan. Isu-isunya, sebagaimana yang sedia diketahui, tertumpu kepada hal-hal yang bersifat bentuk dan manifestasi agama seperti cara-cara terbaik menunaikan ibadat, tentang cara berkeyakinan dalam pegangan aqidah, cara berpenampilan serta pelbagai lagi.

Akibat beranggapan bahawa perkara-perkara tersebut sebagai satu hal yang bersifat inti dari ajaran Islam, umat Islam terjebat dalam kemelut perbahasan yang bersifat `ranting’ dalam sistem keutamaan berfikir yang sewajarnya didahulukan. Salah tanggapan ini telah membawa kepada tenggelamnya perbahasan yang berupa erti, maksud dan tujuan sebenar dari inti kandungan dan mesej risalah Islam yang wajib dipegang dan dikembangkan.

Sejajar dengan semangat sambutan kelahiran Nabi Muhamad, kita ini menganjurkan agar masyarakat Islam hendaklah kembali menumpu kepada perbahasan yang lebih bersifat inti atau `substance’ yang berupa prinsip, dasar dan semangat sebenar dari ajaran risalah Islam yang telah dikembangkan baginda dan menamatkan perbincangan yang bersifat bentuk atau `form’.

Sekiranya diteluri dengan mendalam, inti risalah Islam yang dikembangkan oleh Nabi Muhamad mengandung mesej `pemodenan’. Ia bermaksud, segala kandungan risalah Islam samada berupa kepercayaan, perundangan dan moral adalah satu `tenaga’ yang berfungsi bagi menggerakkan proses pemodenan masyarakat. Dalam kata lain, risalah Islam adalah pendorong kepada agenda pembaharuan dan pembaikan bagi menangani fenomena kemunduran dan kebejatan masyarakat.

Itulah antara iktibar utama apabila risalah Islam diturunkan kepada Nabi Muhamad di Tanah Arab. Agenda utama risalah Islam ialah menggerakkan proses pemodenan masyarakat Arab yang pada waktu itu, sedang terperangkap oleh fenomena kemunduran dan kebejatan pemikiran dan moral sebagaimana tergambar dalam kepercayaan mistik berhala dan sistem kabilah yang menekan.

Seruan Nabi Muhamad kepada masyarakat Arab tertumpu kepada mesej amanah dan pertanggongjawaban manusia, rasionaliti dan kebebasan diri, kesejagatan, keadilan dan kesejahteraan sosial. Hal-hal ini dapat ditelusuri dengan lebih mendalam menerusi kitab suci Al-Quran yang merupakan sumber dasar risalah Islam.

Konsep tauhid sebagai contoh, sebagai nilai terpenting dalam risalah Islam, merupakan suatu ajaran tentang pembebesan diri manusia dari segala bentuk mistik, khayalan dan tahyul yang merupakan penyebab kepada kejumudan berfikir. Penghayatan konsep tauhid adalah langkah paling asas menuju perubahan dan kemajuan. Ia mengandungi pengertian pertanggunjawaban dan amanah antara manusia dan Pencipta.

Begitu juga dengan konsep Ummah, di mana ia menjelaskan tentang nilai universalisme kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraaan merentasi sempadan material bersifat kaum dan warna kulit. Risalah Islam menganjurkan kesatuan manusia menerusi semangat toleransi dan asas moral yang sejagat.

Hal-hal ini seharusnya menjadi aspek utama dalam perbahasan tentang risalah Islam oleh umat Islam masa kini. Persoalan-persoalan seperti konsep nilai dalam ekonomi bebas, keabsahan moral dalam sistem akhlak, konsep kerakyatan dan identiti agama, kedaulatan rakyat dalam sistem perpolitikan, multiculturalisme, hubungan antarabangsa dan dialog Islam dan Barat serta pelbagai lagi adalah antara aspek-aspek yang perlu diperluaskan perbahasannya kepada masyarakat terbanyak.

Hal-hal ini harus menjadi inti bagi menggubah tanggapan negatif terhadap agama Islam yang dilihat seperti anti modeniti, anti dunia dan anti kemajuan terutama oleh masyarakat bukan Islam. Jalan keluar dari salah tanggapan ini ialah dengan menjelaskan dengan secara meluas inti sebenar risalah Islam yang diasaskan pada prinsip kerasionalan berfikir, kesejagatan dan kemajuan sosial.

Islam harus difahami semula sebagai risalah pemodenan masyarakat manusia dari belenggu-belenggu kepercayaan, pemikiran dan budaya yang menyimpang dari asas nilai dan prinsip ketamadunan manusia. Inilah `cahaya’ dan `rahmat’ Nabi Muhamad diturunkan kepada seluruh alam.

This entry was posted in Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

One Response to MEMAHAMI INTI RISALAH NABI MUHAMAD

  1. asnawi says:

    nabi muhamad membawa ajaran islam sebagai rohmat bagi seluruh umat manusia jadi sudah seharusmya umat islam sekarang belajar dan meniru bagaimana nabi bergaul dengan manusia dan alam semesta sehingga umat islam benar-benar menjadi rohmat bagi bumi dan semua isinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s