HUBUNGKAIT ANTARA AGAMA DAN NEGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Agama dan negara mempunyai kaitan hubungan yang amat rapat. Tapi keduanya bukan pula seperti lembaga yang satu. Agama ialah `tatacara’ kehidupan yang dibentuk oleh nilai-nilai mulia tergambar dalam kepercayaan, perundangan dan etika. Negara pula ialah `ruang’ yang dibentuk oleh alam sekeliling, manusia dan sejarah kebudayaannya.

Apabila agama diturunkan, dari perspektif Islam, ia bukan bertujuan bagi membina negara. Ini kerana negara, semasa agama diturunkan, telah pun wujud. Menurut Muhamad Natsir dalam bukunya `Agama dan Negara’, apabila wujud sahaja satu perkumpulan manusia pada sesuatu tempat, secara langsung terbentuklah negara. Proses ini terjadi secara tabie sejak zaman berzaman

Bagaimana kaitan agama dan negara? Agama diturunkan bagi mengukuhkan kewujudan sesebuah negara. Sebagai satu bentuk ruang, negara memerlukan aturan-aturan tertentu. Ini bagi memastikan, warga dalam negara tersebut dapat meneruskan kesinambungan hidup secara harmoni.

Dengan aturan-aturan khusus, segala khazanah yang dimiliki negara atau warisan pengentahuan dari sejarah kebudayaannya dapat dimanafaatkan dan diwariskan secara saksama dan berterusan oleh generasi warganya. Aturan-aturan yang adil akan menentukan kesinambungan hayat sesebuah negara. Dalam hubungan ini, agamalah yang menentukan nilai keadilan dalam aturan tersebut.

Sebagai satu tatacara yang dipandu oleh pedoman Tuhan, agama mengemukakan prinsip-prinsip kehidupan yang tetap dan sejagat bagi tujuan mengatur perjalanan hidup masyarakat manusia. Prinsip aturan tersebut meliputi meliputi segenap aspek kehidupan warganya.

Bidang aturannya meliputi tatacara keperibadian manusia dan tatacara kehidupan sosial meliputi aspek perundangan, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Aturan ini memiliki keunikannya tersendiri kerana ia dibentuk oleh paksi keyakinan tertinggi akan keluhurannya yang abadi sejajar dengan statusnya sebagai pedoman dari Ilahi. Pengamalannya pula dihiasi dengan nilai-nilai akhlak yang mulai dan sejagat untuk kesesuaian seluruh manusia.

Bagaimanakah aturan ini dijelmakan? Prinsip-prinsip aturan kehidupan yang dianjurkan itu seumpama `bahan mentah’. Dalam kata lain, prinsip ajaran agama tersebut terlebih dahulu perlu melalui proses penyerasiannya dengan realiti setempat negara. Tanpa proses ini, penjelmaan ini akan menjadi kaku dan barangkali membawa kepada konflik pula.

Proses penyerasian di kenal dalam istilah agama sebagai `ijtihad’. Ia adalah satu kegiatan keilmuan tinggi yang dipertanggungjawabkan kepada para ahli ilmu dalam sesebuah negara tersebut. Peranan ilmuwan ini ialah melakukan penjelmaan prinsip-prinsip tetap aturan agama secara harmoni dalam masyarakat berdasarkan latar sejarah, sensitiviti budaya, adat dan pantang larang serta nilai-nilai warisan yang dikandung warga negara tersebut.

Proses ini memerlukan interaksi yang unik dan dinamik. Paling mustahak ialah kecerdasan para ilmuwan dalam menentukan langkah-langkah dalam menjayakan interaksi yang harmoni dalam proses penjelmaan tersebut.
Para ilmuwan yang cerdas akan menentukan keutamaan-keutamaan yang harus didahulukan serta yang harus ditangguhkan berdasarkan kepada tahap-tahap perkembangan kesedaran, kefahaman dan kematangan masyarakat terhadap prinsip-prinsip aturan agama tersebut.

Dalam konteks negara kita
Malaysia, para ilmuwan tidak sahaja harus memahami secara mendalam tentang prinsip-prinsip kenegaraan tersebut, malah dalam masa yang sama, menghayati latar sejarah sosio-budaya masyarakat negara ini yang terbentuk menerusi satu pengalaman kemanusiaan yang panjang.

Sifat negara ini yang terjajah semenjak 1511 sehingga berakhir pada 1957 telah melahirkan satu warga masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian watak dan budaya yang saling bangkit dan bangun membina jatidiri negara Malaysia. Kerencaman budaya dan kepercayaan oleh kaum-kaum terbesar serta etnik yang pelbagai menuntut para ilmuwan bukan sekadar menjadi seorang pakar agama , tetapi dalam masa yang sama seorang ahli sejarah dan budayawan.

Dengan ciri ini, ilmuwan agama akan lebih arif lagi teliti dalam mengungkapkan persoalan agama supaya ia diterima sebagai satu nilai yang boleh diterima tidak sahaja oleh orang-orang Islam tetapi juga seluruh rakyat
Malaysia. Agama sebagai satu bentuk rahmat kepada seluruh manusia hanya mampu terjelma bila mana ia dapat dikongsi penghayatannya oleh seluruh warga dan bukan oleh kelompok-kelompok tertentu sahaja.

Inilah cabaran para ilmuwan agama dalam usaha merealisasikan fungsi agama dalam urusan bernegara. Dengan ketelitian dan sikap cermat dalam memperjuangkan nasib dan martabat agama oleh para ilmuan, agama akan ditanggap secara lebih positif dan dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam menyumbang kepada pengukuhan negara.

 

This entry was posted in Kenegaraan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s