DASAR MBMMBI JALAN TENGAH TERBAIK

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 26 November 2011.

Langkah pengenalan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat jalan tengah terbaik yang diambil Kementerian Pelajaran bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada beberapa kepentingan utama dasar MBMMBI yang harus mendapat perhatian dan dokongan semua pihak. Pertama, dasar ini akan memberi ruang yang meluas kepada Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dalam bidang-bidang penting dan strategik. Kedua, ia memberi perakuan iaitu sekiranya cita-cita kita untuk melahirkan generasi yang berdaya saing menerusi penguasaan bahasa Inggeris, maka usaha harus ditumpukan kepada pembangunan di dalam pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa tersebut secara khusus dan bukannya menerusi subjek-subjek lain seperti Matematik dan Sains.


Atas kepentingan ini, kita merasakan debat tentang kewajaran penggunaan dasar PPSMI tidak harus diteruskan lagi. Ini bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk mula merancang dan fokus bagi menjayakan dasar MBMMBI secara lebih tersusun dan memastikan keberkesanan pelaksanaannya.

 
Dalam penerangan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran, nampaknya pelbagai langkah telah dirancang bagi menjayakan pelaksanaan dasar MBMMBI ini. Antara langkahnya meliputi penambahan jumlah jam pengajaran di dalam subjek bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum pengajaran, pengambilan guru dari luar negara  serta perluasan penggunaan ICT dalam pembelajaran. Kesemua langkah sudah tentu digubah hasil dari maklumbalas menyeluruh semua pihak terutama pakar-pakar pendidikan.

 
Bagi mereka yang masih prejudis terhadap perubahan dasar ini akan menyalahkannya kepada bantahan terhadap dasar PPSMI yang banyak digerakkan oleh para pejuang bahasa kebangsaan. Ada setengah pendapat menanggap para pejuang bahasa kebangsaan ini terlalu fanatik sehingga sanggup mengorbankan masa depan generasi akan datang. Tanggapan ini tentulah salah sama sekali.

 
Sepanjang pengentahuan kita tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, tidak pernah wujud sebarang bentuk penyataan yang dibuat oleh para pejuang bahasa ini memperlekeh dan merendah-rendahkan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain. Malah, mereka adalah antara para pejuang bahasa kebangsaan ini juga merupakan pendokong kepada usaha melahirkan generasi pelajar atau rakyat yang dapat menguasai pelbagai bahasa (multilingual). Malah, kebanyakan para pejuang bahasa Melayu ini sendiri menguasai lebih dari satu bahasa asing. Oleh kerana itu, tidak timbul soal sikap fanatik bahasa sehingga pula membawa perbuatan menafikan peranan bahasa asing.

Tentang peranan penting bahasa Inggeris, boleh dikatakan hampir seluruh rakyat di negara memperakui kepentingan generasi muda hari dan akan datang menguasainya dengan fasih. Bagi masyarakat Melayu-Islam, tuntutan menguasai bahasa asing ialah sebahagian dari tradisi keagamaan mereka. Malah sikap yang positif terhadap penguasaan bahasa asing ini ditunjukkan oleh para sarjana Muslim sejak era awal perkembangan agama dan peradabannya apabila banyak ilmu-ilmu baru dibangunkan menerusi kerancakan kegiatan penterjemahan dari tamadun luar. Realiti ini menunjukkan iaitu tidak ada sebarang halangan dari segi agama dan psikologi untuk masyarakat Melayu-Islam di negara ini untuk mendokong sebarang usaha ke arah penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa asing lain di dunia ini.

 
Untuk itulah kita mendapati dasar MBMMBI ini amat sesuai dan merupakan jalan tengah terbaik kerana ini memenuhi tuntutan asas masyarakat Malaysia secara keseluruhan kerana ia bersifat mengekalkan  asas jatiri kebangsaan menerusi peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan dalam masa yang sama mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris bagi mendepani realiti persaingan dunia masa kini.

Bagi memastikan dasar MBMMBI ini berkesan, usaha penjayaannya harus melibatkan sokongan semua pihak. Di samping kepentingan pembangunan kurikulum dan latihan guru, ibubapa dan masyarakat boleh memainkan peranan mereka secara serentak.
Kita berpendapat adalah wajar satu gerakan bagi pembudayaan dasar MBMMBI ini dikembangkan di segenap peringkat masyarakat. Dalam kata lain, dasar ini harus diolah sehingga ia dilihat dan dirasakan sebagai salah satu dari aspek penting dalam perjuangan agama dan bangsa. Penguasaan kedua bahasa ini dihayati sebagai asas penting yang akan memastikan ketahanan masa depan negara dan masa depan tamadun kita. Sekiranya kesedaran dan pembudayaan ini melata, tentu akan wujud nanti inisiatif di pelbagai institusi kerakyatan bagi menjayakannya di pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

 
Usaha ini merupakan satu cabaran besar. Namun, kita tiada pilihan lagi. Kita ingin mengesyorkan Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bahasa dan seluruh institusi dan pergerakan sivil bagi merancang satu gerakan kesedaran dan pembudayaan dasar ini. Ia boleh dirancang antaranya dengan menyemarakkan kegiatan seperti penganjuran program pendidikan lanjutan di peringkat dewasa, belia, remaja dan kanak-kanak bagi memberi peluang kepada mereka mendalami bahasa Melayu dan Inggeris secara tidak formal dan berterusan.

This entry was posted in Isu Semasa, Kenegaraan, Sastera, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s