Posted by: Muhamad Razak | November 10, 2011

5 formula Nik Anuar atasi konflik selatan Thai

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 10 November 2011

PROFESOR Emeritus Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 28 Oktober 2010 lalu sempat meninggalkan ‘formula’ bagaimana konflik di Selatan Thailand atau Pattani harus ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan Thailand. Formula penyelesaian Nik Anuar ini dibukukan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi menghargai sumbangan pemikiran beliau terhadap masyarakat dan negara, satu majlis Syarahan Kenangan Nik Anuar dilangsungkan ATMA baru-baru ini yang disampaikan Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya.

Ternyata, Nik Anuar sebagai seorang ilmuwan dalam bidang sejarah harus dikenang terutama oleh generasi muda negara ini. Sumbangan dan ketekunan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan terutama bidang sejarah Malaysia dan isu persempadanan seperti pembabitan beliau dalam kumpulan penyelidikan isu tuntutan bertindih Pulau Ligitan dan Sipadan serta Pulau Batu Putih. Satu daripada sumbangan pemikiran Nik Anuar yang penting ialah dalam sejarah Siam atau Thailand. Penumpuan beliau dalam kajian ini membawa Nik Anuar menelusuri penuh teliti punca konflik melanda Selatan Thailand yang sehingga kini belum berkesudahan.

Dalam bukunya, Mencari Perdamaian di Asia Tenggara, Merungkai Konflik di Selatan Thailand, Nik Anuar menjelaskan kegagalan penyelesaian konflik itu berpunca daripada ‘keengganan kerajaan Thailand melihat masalah di tiga wilayah itu dari perspektif sejarah’. Beliau menambah sejarah sudah membuktikan ibu segala masalah di wilayah itu ialah apabila Pattani dikecualikan daripada perjanjian Bangkok 1909.

Untuk makluman, pada perjanjian Bangkok 1909, hanya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis saja diserahkan kepada Britain, manakala Pattani yang juga antara wilayah penting kerajaan Melayu-Islam ketika itu kekal sebagai sebahagian tanah jajahan Siam. Keadaan ini terpaksa dilakukan demi kepentingan Britain di Asia Tenggara iaitu bagi memastikan Siam tidak menjemput kuasa luar lain menguasai Tanah Besar Asia Tenggara. Dalam kata lain, Pattani adalah taruhan bagi menjaga hati Siam walaupun diketahui bahawa ia salah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang penting ketika itu.

Pengekalan Pattani sebagai tanah jajahan Siam memburukkan keadaan dan mengukuhkan gerakan penentangan terhadap kerajaan Siam yang sebenarnya sudah wujud sejak negeri itu ditakluki Siam pada 1786. Sepanjang sejarahnya, Siam sudah menjayakan banyak langkah bagi mengukuhkan penguasaannya di Pattani. Menurut Nik Anuar, antara langkah kontroversi ialah pengenalan sistem Thesaphiban iaitu satu kaedah pentadbiran di mana pentadbiran wilayah dikumpulkan dan ditadbir seorang pesuruhjaya. Menerusi sistem ini, autonomi atau kedaulatan pemerintahan Raja Pattani mula terhakis.

Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila pemerintah Siam memperkenalkan dasar Thai Rathaniyom atau program asimilasi budaya dan adat Thai secara paksaan. Dasar ini ternyata mendorong kebangkitan perjuangan rakyat Pattani. Mereka mula berasakan jati diri mereka telah diceroboh dan masa depan ketamadunan mereka bakal runtuh menerusi dasar paksaan kebudayaan. Beberapa nama pejuang awal Pattani ialah antaranya Haji Mat Pauh, Tuan Guru Haji Bermin atau Haji Wan Ahmad bin Wan Idris, Haji Hasan dan Haji Abdullah Embung bangkit bagi menghalang usaha penjajahan secara kebudayaan ini.

Inilah sebahagian kutipan ringkas penjelasan Nik Anuar mengenai sejarah konflik dan perjuangan rakyat Pattani bagi mempertahankan maruah dan jati dirinya. Sehingga saat ini, perjuangan ini belum tamat. Ia menjadi lebih rumit lagi sejak berlakunya peristiwa berdarah di masjid Krisek dan pembunuhan di Tabal pada 2004.

Bagi Nik Anuar, konflik di Selatan Thailand ini boleh diselesaikan menerusi formula berikut: Kerajaan Thailand perlu mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan satu bentuk Pentadbiran Istimewa di wilayah majoriti Melayu. Pentadbiran ini akan diurus oleh penduduk tempatan dalam kerangka negara Thailand. Kerajaan Thailand perlu menerima hakikat akan keunikan orang Melayu. Mereka mesti diberi kebebasan untuk mengamalkan adat resam dan kebudayaan mereka. Kerajaan Thailand perlu mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi wilayah berkenaan, manakala agama Islam diberi keistimewaan khusus. Hubungan antara wilayah istimewa dengan kerajaan Pusat perlu berasaskan kerangka federalisme. Wilayah istimewa perlu diberi hak yang adil ke atas hasil kekayaan ekonomi yang dimiliki. Pejuang perlu meletak senjata dan menyertai rancangan penempatan atau demobilisasi. Pelaksanaan perjanjian ini mesti dipantau oleh badan antarabangsa bagi memastikan kejayaannya. Begitulah lima formula penyelesaian konflik Selatan Thailand menurut Nik Anuar. Bagi beliau, keamanan di Selatan Thailand harus diberi perhatian kerana ia akan menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara secara keseluruhannya.

Bagi Nik Anuar, inilah formula terbaik dan ia boleh dijayakan sekiranya kerajaan Thailand ikhlas bagi menamatkan konflik yang melanda sejak sekian lama. Begitulah sumbangan ahli ilmuwan kepada masyarakat. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara ini. Kita perlu melahirkan lebih ramai tokoh ilmuwan seumpama Nik Anuar. Ahli ilmuwan ibarat pelita penyuluh kegelapan. Dalam syarahan yang diberikan, Prof Dr Abdullah menggelarkan Nik Anuar sebagai ‘Sejarawan Dalam Kenangan’.


Respon

  1. jak,bijok deme

  2. ..terima kasih atas info yg diberikan…

  3. Kehidupan di dunia harus ada pengorbanan untuk menjaga keamanan sesama manusia. Sejarah adalah sesuatu yang berharga untuk dijaga malah sangat berharga untuk dituntut oleh bangsa atau kaum yang menghargai sejarah kaum dan bangsanya. Namun begitu ada masa dan ketika sesuatu kaum dan bangsa itu terpaksa mengorbankan sejarah untuk mengelakkan berlaku konflik sesama manusia kerana pada zaman sekarang kaum dan bangsa di dunia harus berkongsi kehidupan dan terpaksa mengakui kehidupan bercampur pelbagai kaum dan bangsa untuk kesinambungan keamanan seluruh dunia. Terdapat banyak contoh kejadian berdarah yang berlaku apabila ada kaum yang bertegas menuntut hak keatas sejarah kaum dan bangsanya. Kita ambil contoh kaum Yahudi yang yang begitu patriotik terhadap sejarah kaum Yahudi. Sekiranya kita membenarkan dan mempercayai sejarah maka memang benar kaum Yahudi berhak menuntut hak sejarahnya di bumi Israel. Tetapi, bukankah sepatutnya kaum dan bangsa Yahudi boleh berkongsi tanah, langit, udara, seisi alam dan kehidupan dengan kaum dan bangsa lain? Terdapat juga contoh dimana kaum dan bangsa tidak ekstrimis dalam soal hak keatas sejarah kaum dan bangsanya seperti yang berlaku di Turki. Sejarah mengetahui asal usul keujudan negara Turki yang melalui penaklukan perang yang berasaskan penyebaran agama Islam. Melalui penaklukan telah berlaku perubahan senario sosial kehidupan, agama dan politik terhadap kaum asal dalam negara itu termasuk penjenamaan semula negara. Disatu pihak ianya menjadi kebanggaan manakala di pihak yang lain ianya satu keadaan yang mereka terpaksa mengenepikan sejarah kaum dan bangsanya demi untuk perkongsian kedamaian dan kesejahteraan sesama manusia. Berbalik kepada konflik di selatan Thailand yang merujuk kepada sejarah tahun 1909, bukankah lebihkurang sama dengan sejarah Sabah semasa penubuhan Malaysia? Dan kita tahu bahawa di Sabah masih ada pihak yang tidak berpuashati dengan ketelusan perlaksanaan yang terkandung dalam perjanjian 20 PERKARA. Pun begitu secara majoriti di Sabah berpendapat bahawa keharmonian, keamanan dan kesejahteraan antara kaum lebih penting daripada menuntut hak yang tertulis dalam sejarah silam dan paling penting adalah melakar sejarah masa depan yang menjamin kehidupan generasi masa depan.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.