Beberapa Sikap Pemikiran Dalam Mendepani Pemikiran ‘Liberal’

 

Oleh: Muhamad Razak Idris[1]

 (Kertas ini dibentangkan di Seminar Menangani Isu-Isu Islam Liberal di UKM pada 17 Febuari 2011)

1.0          Dinamika Pertumbuhan Pemikiran Islam

Pemikiran Islam sebagai sebuah realiti bersifat dinamik. Ia bermaksud, pemikiran sentiasa tumbuh dan berkembang sejajar dengan perkembangan manusia dan zaman. Hal ini adalah sebahagian dari fitrah. Ini kerana pemikiran Islam ialah sebuah jelmaan dari proses tindakbalas akal insan Muslim terhadap pelbagai bentuk cabaran persekitarannya yang sentiasa mengisi ruang kehidupan yang sentiasa berubah. Dalam ertikata lain, dinamika pemikiran Islam terjadi kerana tindakbalas berterusannya terhadap realiti perubahan yang merupakan unsur terpenting dalam realiti alam dan kehidupan.

Tindakbalas akal insan Muslim terhadap perubahan yang terjadi disekeliling  mereka terjadi dalam kadar yang berbeza-beza. Tingkat kadar tindakbalas ini boleh dibahagikan kepada tahap rendah, sederhana dan tinggi atau sempit, sederhana dan luas. Tingkat kadar tindakbalas ini berbeza tingkatnya kerana ia diukur dari jauh dan dekatnya pemikiran yang terhasil dari tindakbalas tersebut dari asas-asas pemikiran yang bercorak tradisi yang telah disepakati oleh kebanyakan kalangan dari masyarakat Islam.  Berasaskan kerangka kefahaman ini, kita akan menemui beberapa ‘label’ di dalam diskusi pemikiran Islam yang berfungsi sebagai petunjuk tentang kepelbagaian kadar tindakbalas pemikiran umat Islam terhadap pelbagai persoalan di dalam kehidupan dan zamannya.

Di dalam wacana Islam semasa hari ini, kita tentu akan terdedah dengan label seperti tradisional, reform, moden dan liberal. Memandangkan pemikiran ialah satu subjek yang abstrak, perbezaan kepelbagaian label pemikiran tidaklah boleh dikenalpasti secara jelas persempadanannya seperti ukuran dalam sempadan geografi. Kelainanan kadar ini dikenal menerusi tahap kualiti dari aspek ‘penekanan’ atau ‘keterbukaan’ atau ‘kebebasan’ atau ‘pembaharuan’ tentang sesuatu persoalan yang dibincangkan. Ia seperti kita menilai tahap kualiti cahaya atau warna pada sesuatu benda di di alam zahir ini.

Di dalam menilai tahap kualiti sesuatu pemikiran, diskusi semasa hari ini sering merujuk pemikiran bercorak tradisi sebagai pemikiran yang amat menekankan unsur-unsur yang bersifat klasik dan semangat konservatif dalam pemikiran Islam. Pemikiran bercorak reform, moden dalam Islam pula  menekankan aspek perubahan dan pembaharuan terhadap unsur-unsur tradisional tetapi dalam kadar yang sederhana dan terkawal. Manakala pemikiran bercorak liberal juga mengandungi penekanan terhadap terhadap aspek perubahan dan pembaharuan tetapi kadarnya dilihat bersifat radikal atau revolusi terhadap unsur-unsur tradisional dalam pemikiran Islam.

Tindakbalas pemikiran Islam terhadap persoalan kehidupan meliputi pelbagai aspek ketamadunan manusia sejajar dengan kafahaman makna Islam sebagai satu yang bersifat ‘civilizational force’ atau pendorong kehidupan bertamadun. Oleh kerana itu, kita akan menemui pelbagai tema dan isu yang dibincangkan oleh pelbagai tokoh dan sarjana sepanjang sejarah pemikiran Islam. Kepelbagaian tindakbalas atau reaksi pemikiran yang disumbangkan oleh para sarjana Muslim ini dengan perbezaan kadar penekanannya menjadikan pemikiran Islam bersifat dinamik dan rencam.

2.0          Pemikiran Bercorak ‘Liberal’ Dalam Wacana Islam Semasa

Salah satu tema diskusi semasa di dalam pemikiran Islam hari ini ialah berkaitan tentang pemikiran yang bercorak ‘liberal’. Corak pemikiran yang bersifat sebegini menjadi bahan perdebatan dan reaksi yang meluas kerana sifat perbahasannya tentang beberapa aspek pemikiran ditanggap bercorak terlalu radikal atau bersifat revolusi sekiranya ia diukur dari asas pemikiran tradisi Islam. Dalam kata lain, pada sesetengah perbincangan, kadar penekanan terhadap aspek perubahan dan pembaharuan di dalam pemikiran Islam dilihat terlalu ‘bebas’ dan ‘terbuka’ sehingga melewati beberapa prinsip-prinsip agama yang telah disepakati sebagai ‘sahih’ dan ‘tetap’ atau ‘qat’i’ sebagaimana yang telah disepakati oleh tradisi pemikiran Islam semasa. Ia seperti perbahasan aliran bercorak ini tentang kedudukan wahyu dan peranan kenabian dalam kehidupan manusia, perbincangan tentang kesamaan taraf kepercayaan menerusi idea teologi pluralis, diskusi tentang status syariat Islam dalam mengatur kehidupan manusia, isu kesetaraan gender dan persoalan undang-undang moral.

Beberapa contoh diskusi berikut boleh memberikan kita gambaran tentang realiti corak pemikiran yang ditanggap sebagai ‘liberal’ di dalam pemikiran Islam semasa. Di dalam makalah beliau bertajuk “Bahaya Islam Liberal” (Siasah, 16-29 September 2005), Dr Muhamad Nur Manuty membuat beberapa penelitian terhadap corak pemikiran liberal. Di dalam melihat kedudukan wahyu dan peranan kenabian, pemikiran liberal mengambil sikap yang amat kritis. Beliau merujuk pandangan yang dikemukakan oleh Nasr Hamid Abu Zaid di dalam analisanya tentang persoalan ini sebagaimana tergambar di dalam karya ‘Mafhum al-Nas – Dirasah fi ‘Ulum al-Quran (Kefahaman Mengenai Teks – Satu Kajian Mengenai al-Quran).

Menurut Muhamad Nur, “ Tentang konsep wahyu dan Muhammad versi Nasr dan yang sejenis dengannya, mereka memandang al-Quran – setidak-tidaknya sampai pada tahap al-Quran – bukanlah teks yang turun dari langit (syurga) dalam bentuk kata-kata  aktual – sebagaimana penyataan klasik yang masih dipegang pelbagai kalangan – tetap merupakan spirit wahyu yang disaring melalui Muhammad dan sekaligus diekspresikan dalam tapal batas intelek dan kemampuan lingustiknya. Jadi, taarif Nasr yang sedemikian itu meletakkan Muhammad semacam seorang ‘Pengarang’ al-Quran”.

Analisis bercorak sebegini terhadap kedudukan al-Quran dan peranan Nabi Muhammad adalah satu tafsiran yang sungguh radikal dan revolusi sekiranya dibandingkan dengan pemahaman bercorak tradisi tentang kedudukan tinggi al-Quran sebagai wahyu yang diturunkan langsung oleh Allah kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat. Pandangan Nasr ini adalah contoh corak pemikiran liberal yang amat asing dan terlalu baru dalam tradisi pemikiran Islam.  Corak ini terjadi kerana menurut Muhammad Nur, Nasr menggunakan pendekatan hermeneutik di dalam proses pentafsiran kitab suci sebagaimana yang sering dilakukan oleh sarjana barat terhadap kitab Bible.

Satu lagi contoh corak pemikiran liberal dapat dilihat di dalam perbahasan tentang status syariah Islam sebagaimana tergambar di dalam tulisan Abdullah al-Naim, “Toward an Islamic Reformation” (1989). Menurut Muhammad Nur, tulisan ini “telah merombak pemahaman orang Islam terhadap syariah. Abdullah mempopularkan syariah adalah ‘human’ bukannya ‘divine”. Beliau menulis: “I have shown that shari’ah  was in fact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from the fundamental divine sources of Islam, the Qur’an and Sunnah, Shari’ah is not divine because it is the product of human interpretation of those sources…”.

Di dalam pandangan ini, Abdullah menyatakan iaitu syariah Islam adalah sebuah hasil yang disusun oleh ahli perundangan Islam walaupun ia bersumberkan kepada al-Quran dan Sunnah dan oleh kerana itu syariah bersifat kemanusiaan dan ia bukan sebahagian dari ketuhanan.

Pandangan Abdullah tentang status syariah dan sikap Nasr tentang kedudukan wahyu dan kenabian Muhammad adalah dua contoh bagi menggambarkan kepada kita tentang corak pemikiran yang muncul di dalam dunia pemikiran Islam semasa hari ini yang dikenal sebagai pemikiran liberal. Ada banyak lagi pemikiran yang bercorak sebegini di dalam pelbagai bidang kehidupan pada hari ini dan tentu akan berterusan pada masa akan datang.

Dinamika pertumbuhan pemikiran bercorak sebegini akan bertambah meluas pada masa akan datang memandangkan dunia Islam terdedah dengan globalisasi dan era masyarakat terbuka. Perhubungan langsung dan tidak langsung masyarakat Islam dengan tradisi ketamadunan masyarakat Barat terutama dari aspek pemikirannya yang bercorak moden dan liberal dan pengalaman sejarahnya akan mempengaruhi pola pemikiran umat Islam di dalam menanggapi sesuatu persoalan yang sentiasa tumbuh dan berubah.

3.0          Beberapa Sikap Terhadap Pemikiran Bercorak Liberal

Memandangkan corak pemikiran liberal akan terus berkembang dalam masyarakat Islam di era globalisasi ini, masyarakat Islam perlu dipersiapkan dengan sikap dan persediaan berfikir di dalam berdepan dengan kepelbagaian pemikiran yang tumbuh. Di dalam berdepan dengan pemikiran bercorak liberal terutamanya, masyarakat Islam harus membina beberapa persediaan sikap berikut:

Pertama, sikap pemikiran terhadap istilah ‘liberal’ harus lebih teliti dan objektif. Istilah liberal mengandungi pelbagai erti dan maksud berlatarkan pengalaman sejarah yang pelbagai. Dalam kaitan ini, tidak kesemua unsur yang mengandungi aspek liberal terkait dengan unsur negatif. Elemen ‘bebas’ dan ‘terbuka’ yang terkandung di dalam definisi liberal mengandungi dorongan positif sekiranya ia dirujuk kepada usaha mengatasi sesuatu keterbatasan dan kongkongan tertentu terutama apabila sesebuah berada di dalam pengalaman pemerintahan yang bercorak zalim atau menindas, atau di dalam sistem sosial yang dilingkungi oleh kepercayaan adat yang terlalu sempit dan menakan. Maka usaha atau langkah ‘pengliberalan’ masyarakat dari kongkongan dan keterbatasan melampau di dalam pelbagai aspek kehidupan adalah satu bentuk usaha yang positif. Oleh kerana itu, di dalam pengalaman masyarakat Barat, istilah liberal ini ditanggap sebagai suatu yang positif setelah berjaya membebaskan pemikiran mereka dari sejarah kongkongan keagamaan yang melampau di era pertengahan ketamadunannya.

Secara khusus, dalam konteks pengalaman masyarakat Islam, penolakan terhadap istilah liberal ini ialah apabila ia dilaksanakan secara keterlaluan di dalam bidang ‘agama’ sehingga memberi kesan yang terlampau terhadap kerangka tradisi yang dianuti dan disepakati oleh kebanyakan kalangan masyarakat Islam. Corak pemikiran yang perlu diberi perhatian ialah terhadap usaha-usaha pengliberalan tradisi pemikiran Islam sehingga membawa kepada merobek seluruh identiti teras keagamaan atau sehingga menghilangkan jatidiri agama itu sendiri. Oleh itu, pemikiran-pemikiran yang bercorak liberal yang diihat berusaha merobek prinsip ajaran Islam yang sahih dan disepakati sejajar dengan kerangka tradisi pemikiran Tawhid dan Syariah hendaklah dijauhi.

Kedua, berdasarkan kerangka definisi tersebut, sikap pemikiran masyarakat Islam terhadap pemikiran liberal hendaklah bersifat terpilih atau selektif. Pemikiran liberal dalam erti dan maksud sebagai satu usaha melakukan proses pembebasan kefahaman dan memperluaskan keterbukaan pandangan tentang sesuatu persoalan berkaitan tentang kehidupan beragama dan hal ehwal masyarakatnya dan ia tumbuh dan berkembang di dalam kerangka tradisi pemikiran Islam yang sahih berteraskan prinsip ajaran Tawhid dan Syariah yang luas dan dinamik, hendaklah ditanggap secara positif. Malah proses pengliberalan pemikiran yang bersifat positif harus digalakkan selagimana ia bertujuan bagi memperkayakan khazanah pemikiran Islam dan memperluaskan lagi ruang atau horizon pemikirannya sejajar dengan keluasan makna dan pengertian Tawhid dan Syariah.  

Dalam kaitan ini, diskusi tentang dinamika dimensi Tawhid di dalam kehidupan manusia yang rencam dan keluasan maksud maqasid atau tujuan-tujuan Syariah akan membawa pemikiran Islam kepada kepelbagaian isu dan tema berkaitan Islam dan kehidupan. Pemikiran yang bersikap terpilih atau selektif dalam hubungan ini bermaksud kita hendaklah menentukan sikap penerimaan dan penolakan tentang sesuatu perbahasan pemikiran yang bercorak ‘liberal’ setelah dilakukan penelitian secara terperinci tentang kadar atau tahap ‘pembebasan’ dan ‘keterbukaan’ yang dianjurkan di dalam tema dan isu yang tertentu dan terpilih. Kita hendaklah mengelakkan dari bersikap mudah atau simplistik dengan menanggap semua bentuk buah fikiran yang dilabel sebagai ‘liberal’ sebagai suatu yang tertolak sebelum disusuli dengan pengkajian dan penelitian yang mendalam dan objektif. Sikap penolakan keseluruhan berasaskan label liberal tanpa pengkajian secara selektif terhadap setiap isu dan persoalan yang dibahaskan  tidak menepati semangat keilmiahan tradisi pemikiran Islam dan ia suatu yang boleh membawa kepada kerugian kepada khazanah pemikiran Islam.

Ketiga, sikap pemikiran terbaik yang dianjurkan oleh dasar berfikir Islam ialah berteraskan prinsip ‘al-wasatiyyah’ (keseimbangan dan kesederhanaan). Dalam hubungan ini, proses pengliberalan pemikiran yang bermaksud sebagai usaha pembebasan dan keterbukaan bagi tujuan melakukan pembaikan dan pembaharuan terhadap kefahaman umat Islam diterima di dalam kerangka tradisi pemikiran Islam apabila ia menepati prinsip al-wasatiyyah.

Di dalam membahas prinsip ini, Khalif Muammar  di dalam bukunya Atas Nama Kebenaran (UKM, 2009) menganjurkan usaha pembebasan dan pembaharuan dalam berfikir supaya kefahaman masyarakat Islam tidak terkongkong oleh pandangan ilmu yang bersifat terlalu mengikat atau statik sehingga cenderung untuk menolak bentuk pembaharuan dan kemajuan (modernity). Corak pemikiran ini sering mengamalkan perbahasan pemikiran menggunakan pendekatan literal di dalam memahami sesuatu persoalan keagamaan sehingga menolak tafsiran yang bersifat tersirat dari sesuatu ayat al-Quran dan al-Hadith (Khalif, ms 264).

Pemikiran berteras prinsip al-wasatiyyah dalam masa yang sama juga menolak corak pemahaman secara terlalu liberal sehingga menggangap kebenaran itu suatu yang relatif atau bersifat subjektif sehingga mendorong kepada fenomena skeptisisme atau keraguan kebenaran di dalam segala persoalan. Prinsip al-wasatiyyah menentang sikap pemikiran liberal yang “menolak kemungkinan manusia mencapai kebenaran dalam memahami agama”. Sikap keterlaluan pemikiran ini juga sehingga menafikan autoriti ulama dengan menganggap “pentafsiran seseorang ulama’ terhadap teks agama tidak mungkin mencapai maksud sebenar yang diingini oleh Pengarang teks (Allah s.w.t) (Khalif, ms 266).  

Dalam hubungan ini, sikap pemikiran yang bercorak al-wasatiyyah ialah satu pendekatan berfikir yang mendorong usaha dan kegiatan pembebasan dan keterbukaan dalam perspektif yang positif dalam kadar yang sederhana dan seimbang. Pendekatan al-wasatiyyah dalam pemikiran Islam ialah “pendekatan jalan tengah atau sederhana dalam memahami teks-teks agama. Pendekatan jalan tengah di antara literal dan liberal, jumud dan bebas, konservatif dan progresif”. (Khalif, ms 266)

Keempat, di dalam usaha membangunkan pemikiran Islam berteraskan prinsip al-wasatiyyah dan mendepani pemikiran bercorak liberal, sikap pemikiran masyarakat Islam terhadap khazanah ilmu asing hendaklah bercorak hormat dan kritis.. Ini kerana, tanpa sikap sedemikian, khazanah keilmuan Islam tidak akan dapat berkembang dan tumbuh dengan pesat sebagaimana yang telah dimiliki tamadun Islam hari ini. Menurut Mohd Farid Mohd Shahran, di dalam sejarah ketamadunan Islam, “intelektualisme Islam telah diperkayakan dengan pelbagai khazanah keilmuan dari Yunani. Zaman Keemasan Penterjemahan yang berlaku selama hampir 150 tahun (767-912) menyaksikan pelbagai jenis karya ilmiah Freek dalam falsafah dan bidang sains telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab”. (Mohd Farid Mohd Shahran, Isu-isu Dalam Pemikiran Islam, ABIM, 2008, ms 42)

Di dalam hubungan ini, sikap pemikiran masyarakat Islam hari ini terhadap khazanah pemikiran Barat semasa juga harus berasaskan hormat-kritis. Sikap ini menunjukkan keperibadian pemikiran Islam yang tidak bersifat apologetik atau merendah diri berdepan dengan khazanah keilmuan asing namun bersikap hormat dan dalam masa yang sama kritis menilai dan berhati-hati di dalam menerima dan menggunakan pelbagai sumber dan pendekatan di dalam pengalaman masyarakat asing bagi keperluan masyarakat Islam.

Oleh kerana itu, masyarakat Islam tidak harus bersifat apologetik juga apabila berdepan dengan pertumbuhan pemikiran yang bercorak liberal yang berkembang di dalam pelbagai bidang. Menerusi sikap hormat dan kritis, kita akan berkemampuan menilai secara objektif setiap buah fikiran yang terbit sejajar dengan kerangka faham Tawhid dan Syariah yang utuh. Sikap hormat-kritis akan dalam pemikiran akan membawa masyarakat Islam untuk berasa tidak terlalu terancam untuk menerima pemikiran yang sesuai dan baik dari pemikiran bercorak liberal dan tidak pula berasa rendah diri untuk menolak fikiran-fikiran yang bersalahan atau bertentangan dengan keyakinan pegangan dalam tradisi pemikiran Islam yang kita telah sekian lama warisi.

Begitulah empat sikap pemikiran yang harus dimiliki oleh masyarakat Islam di dalam mendepani cabaran pemikiran yang bercorak liberal yang tumbuh di dalam sejarah ketamadunan pemikiran umat Islam hari ini.   


[1] Dr Muhamad Razak Idris ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau bergiat di bidang kemasyarakatan dan telah dilantik sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi sesi 2009 -2011.

This entry was posted in Gerakan Islam, Isu Semasa, Kenegaraan, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s