MEMERANGI RASUAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan Berita Harian, 30 Disember 2010, Khamis.

Banyak persoalan dakwah yang telah dilontarkan oleh Haji Zaid Kamaruddin, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) semasa menyampaikan ucapan dasar semasa Perhimpunan Perwakilan Nasional ke 20 baru-baru ini. Salah satu persoalan dari ucapan beliau yang menarik perhatian saya ialah ulasannya berkaitan bahaya gejala rasuah dan tuntutan untuk kita semua, terutama para pendakwah untuk memeranginya.

Di dalam ucapannya, beliau mengutip anggaran Bank Dunia berkaitan rasuah. Menurut Bank Dunia, sebanyak US$1 trillion telah dibayar sebagai rasuah daripada keseluruhan untung kasar hasil dalaman dunia iaitu US$2.6 trillion. Rasuah juga telah mengakibatkan peningkatan 10 peratus kos menjalankan perniagaan di seluruh dunia dan setinggi 25 peratus kos mendapatkan kontrak di negara-negara membangun. Di dalam anggaran ini juga dinyatakan iaitu ada negara yang kehilangan sehingga 20 peratus pendapatan dalam negara disebabkan rasuah. Begitulah besarnya bahaya menimpa masyarakat dunia disebabkan oleh kegiatan rasuah.

Ternyata ia telah membebankan daya saing ekonomi dan membawa sesebuah negara berada di dalam kerugiaan secara berleluasa. Kesan bahaya rasuah terhadap pembangunan sesebuah negara dapat juga ditinjau menerusi laporan oleh UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime) 2010. Laporan ini menyebut iaitu rasuah adalah halangan terbesar kepada pembangunan ekonomi dan sosial. Rasuah telah membantutkan pertumbuhan ekonomi dan melesapkan dana untuk perkhidmatan masyarakat. Apabila wang kerajaan dan rakyat disedut ke dalam akaun persendirian, sumber akan berkurangan untuk membina sekolah, hospital atau jalanraya. Apabila bantuan asing lesap ke dalam kantung peribadi, projek infrastruktur yang besar tergendala.

Di samping kesan rasuah terhadap pertumbuhan ekonomi dan sosial, rasuah juga memberi akibat terhadap sistem demokrasi. Ini kerana rasuah menyekat kemampuan kerajaan untuk berfungsi secara berkesan untuk menyediakan perkhidmatan yang kritikal untuk rakyat. Ini boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan. Kesan lain rasuah ialah terhadap keluhuran undang-undang. Rasuah membawa kepada kepesatan kewujudan kumpulan jenayah terancang termasuk pengedar dadah dan senjata. Ini secara langsung menjejaskan keselamatan dan memudahkan jaringan pengganas berkembang.

Apakah kita mempunyai kemampuan menghalang rasuah? Menurut Haji Zaid, tentu sekali kita mampu. Ini kerana, “rasuah bermula dengan keputusan peribadi, selalunya digerakkan oleh ketamakan dan kemiskinan”. Oleh itu, untuk menyekat rasuah, kita perlu membina budaya integriti dan keluhuran undang-undang. Tugas ini adalah tanggungjawab kerajaan dan semua anggota masyarakat. Dalam hal ini, agenda memerangi rasuah nampaknya harus bermula menerusi proses pembudayaan. Ia bermaksud, tuntutan untuk kita mendidik dan menanam satu kefahaman di dalam fikiran masyarakat terhadap bahaya rasuah kepada pertumbuhan diri dan pembangunan negara secara keseluruhan.

Ia juga berkaitan dengan usaha untuk mewujudkan rasa benci terhadap perbuatan rasuah dan berasa hina apabila diri digelar sebagai perasuah. Usaha memerangi rasuah memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Ini meliputi peranan untuk kita membina budaya beramanah di dalam segala urusan kehidupan samada di peringkat kerajaan, perniagaan, media, masyarakat madani dan seluruh anggota masyarakat.

Langkah lain ialah memastikan urus tadbir kerajaan dikendali dengan tatakelola yang baik. Antara aspek penting dalam sebuah tatakelola kerajaan yang baik ialah menerusi langkah mempertahankan keutuhan perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang dan mengamalkan pengasingan kuasa dalam pentadbiran. Menerusi langkah ini, proses pertumbuhan negara terjadi secara seimbang dan telus berdasarkan sandaran perundangan yang berdaulat.

Proses pengukuhan tatakelola kerajaan yang baik juga memerlukan beberapa elemen sokongan lain seperti kumpulan pembangkang yang berwibawa, sistem kehakiman yang bebas dan perkhidmatan awam yang tidak memihak. Ini adalah antara tiga elemen yang akan menyumbang kepada kewujudan sebuah persekitaran yang sihat dan seimbang yang secara langsung akan mengekang terjadinya perbuatan rasuah di dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Proses memerangi rasuah juga menuntut peranan agama diperkukuhkan. Agama menunjukkan sempadan nilai dan menanamkan sikap rasa hina apabila terjebak di dalam perbuatan rasuah. Agama menekankan tentang balasan yang akan ditanggung pemberi dan penerima rasuah terutama di hari pembalasan kelak. Di samping itu, agama menanam sikap tangungjawab dan amanah di dalam diri individu. Kita yakin, semakin teguh pegangan agama, semakin jauh dirinya dari terjebak dengan perbuatan rasuah. Dalam kaitan ini, marilah kita sama-sama terlibat memerangi gejala rasuah.

 Bagi kita, ia adalah keutamaan dakwah masa kini. Memandangkan rasuah ialah barah bagi segala kerosakan, tugas memeranginya harus dijayakan tanpa henti. Untuk itu, ia harus bermula dari dalam dri kita sendiri. Seterusnya kita memantau perbuatan ini dari kalangan kaum keluarga dan sahabat handai. Peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dalam hal ini amat penting sekali. Kita berharap SPRM sebagai badan tertinggi yang dipertanggungjawabkan bagi memerarangi rasuah untuk terus meningkatkan kecekapannya bagi membebaskan masyarakat dan negara dari bahaya rasuah.

This entry was posted in Dakwah, Isu Semasa, Kenegaraan, Tamadun. Bookmark the permalink.

One Response to MEMERANGI RASUAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

  1. Good information. Lucky me I found your website by chance (stumbleupon).
    I’ve book marked it for later!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s