MEMBINA BELIA KREATIF DAN INOVATIF

Oleh Muhamad Razak Idris

(Tersiar di Berita Harian, 26 Mei 2010, Rabu)

TEMA sambutan Hari Belia baru-baru ini menjurus ke arah pemupukan belia yang kreatif sebagai asas memacu pertumbuhan negara. Seruan ini amat bertepatan kerana belia hari ini sedang berdepan pelbagai cabaran pada era peralihan zaman.

Antara cabaran utama di zaman ini yang perlu ditangani belia ialah realiti persaingan terbuka di dalam segenap aspek kehidupan. Realiti ini digerakkan oleh perubahan zaman yang sering dikenali sebagai globalisasi. Persaingan pada hari ini tidak lagi bersifat setempat atau di dalam sempadan negara, tetapi persaingan bercorak global. Kita sedang bersaing dengan seluruh warga dunia.

//

Menyedari akan realiti zaman ialah satu syarat asas kepada belia hari ini. Hal ini penting bagi memastikan kerangka pemikiran belia sejajar dengan keadaan perubahan persekitaran yang terjadi. Menerusi kerangka pemikiran yang ‘realistik’, maka belia akan berupaya mengerti cabaran sezaman yang perlu ditempuh dan ditangani.

Selepas belia memenuhi syarat asas ini, dari situlah usaha melakukan persediaan yang wajar dan sepatutnya bagi mendepani cabaran peralihan zaman ini akan dapat dijayakan. Antara persediaan terpenting ialah keperluan untuk belia meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di dalam diri masing-masing. Di dalam konteks inilah saya melihat ketepatan tema sambutan Hari Belia pada tahun ini.

Belia yang kreatif ialah belia memiliki sikap positif terhadap sebarang kemungkinan baru di dalam kehidupan dan persekitarannya. Sikap yang positif ini akan mendorong belia untuk berwatak inovatif atau sikap yang suka membuat penambahbaikan menerusi kelainan dengan memanfaatkan segala ruang dan peluang di sekelilingnya.

Belia yang kreatif juga ialah seorang yang unik. Ia tidak bermaksud sebagai satu peribadi yang gemar mencari kelainan sehingga menghilangkan jati dirinya yang hakiki. Seseorang yang kreatif berfikir di luar kotak pandangan kebiasaan untuk mencari keunikan baru dengan tujuan untuk meningkatkan keutuhan jati dirinya. Inilah watak sebenar belia kreatif yang akan menyumbang kepada pemacuan pembangunan negara.

Di dalam hubungan ini, belia yang kreatif adalah aset terpenting sebuah negara. Belia yang berwatak sebegini berpandangan positif terhadap perkembangan zaman dan sentiasa berfikir serta merancang bagaimana memastikan ketahanan mereka di dalam dunia yang penuh dengan persaingan.
Mengapakah belia yang berwatak kreatif satu aset kepada negara? Negara akan sentiasa memperoleh idea baru dalam bentuk perkhidmatan, industri dan perniagaan bagi kegunaan rakyat di dalam negara atau untuk tujuan persaingan dengan masyarakat dunia.

Di dalam hal ini, negara akan secara langsung berkemampuan meningkatkan tahap persaingan di peringkat global menerusi keupayaan kreativiti dan inovasi belia. Ini kerana, belia yang kreatif dan inovatif akan sentiasa berdaya tahan untuk berdepan perkembangan dan perubahan zaman.

Mereka akan sentiasa mencari jalan keluar terbaik dengan menggiatkan usaha pembaharuan dan perubahan di dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi sama ada di bidang perkhidmatan, industri dan perniagaan. Di dunia persaingan ini, ketahanan negara akan terjamin sekiranya ia mampu memimpin perubahan dan pembaharuan.

Banyak usaha yang perlu dilakukan di dalam melahir dan membangunkan belia yang kreatif dan inovatif. Semua pihak perlu memainkan peranan. Usaha pembinaan belia yang berwatak sebegini harus dilihat sebagai satu bentuk pelaburan masa depan untuk ketahanan pembangunan negara di era masyarakat terbuka.

Di dalam hubungan ini, beberapa usaha berikut perlu dijayakan bersama. Antaranya ialah dengan mengukuhkan budaya ilmu di kalangan belia. Ini bermaksud, belia perlu dipastikan memperoleh pendidikan formal sehingga peringkat tertinggi. Di samping itu, ruang dan peluang pendidikan tidak formal juga perlu diperluaskan.

Semangat ‘menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad’ perlu ditingkatkan. Kreativiti dan inovasi hanya akan terbina menerusi proses pengupayaan dunia pengetahuan belia. Langkah lain ialah dengan memperluaskan pendedahan mengenai realiti perkembangan dunia yang berkembang.

Ini bermaksud, kegiatan pertukaran belia pada peringkat serantau dan dunia perlu ditingkatkan penyertaannya. Ini bagi memastikan belia terdedah dengan realiti budaya dan sikap masyarakat lain. Pendedahan ini juga akan meningkatkan keyakinan budaya belia di dalam berdepan dengan kepelbagaian pandangan dan kebudayaan sejagat.

Di dalam keadaan ini, belia juga pada masa sama, harus diperkukuhkan asas jati dirinya. Belia harus sentiasa diperingatkan iaitu kreativiti dan inovasi bukan bertujuan demi kepentingan diri sendiri atau sehingga mengorbankan harga diri, nilai sejarah dan masa depan rakyat keseluruhan.

This entry was posted in Belia, Isu Semasa, Kenegaraan, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s