DIALOG ANTARA AGAMA

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian: 26 Januari 2010

RAMAI di kalangan pemimpin dan pemikir masyarakat mahukan supaya dianjur dialog antara agama sebagai satu jalan penyelesaian bagi menjamin keharmonian beragama di negara kita. Seruan ini adalah antara satu bentuk jalan pelerai bagi menangani sebarang pertembungan di dalam persoalan agama seperti tergambar menerusi debat isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini.

Dialog antara agama dilihat sebagai satu tuntutan utama pada masa kini kerana kepentingannya yang tersendiri. Di samping bertujuan sebagai jalan pelerai terhadap sebarang bentuk pertembungan, tujuan besar lain daripada kegiatan dialog ialah bagi menggembleng seluruh kekuatan yang berunsurkan keagamaan di dalam satu bentuk pergerakan yang seiring dan terarah.

Kenapakah proses penggemblengan kekuatan masyarakat beragama ini diperlukan pada hari ini? Ada dua pandangan penting terhadap persoalan ini. Pertama ialah sebahagian masyarakat dunia sudah mula menyedari bahawa agama antara satu unsur yang amat berpengaruh di dalam kehidupan manusia. Oleh itu, unsur penting ini perlu diurus dan dikendalikan secara bijaksana supaya ia mampu menyumbang secara positif kepada perkembangan tamadun manusia. Pandangan kedua ialah kerana tuntutan kepada suatu pembinaan satu perkumpulan masyarakat beragama yang kuat bagi mendepani cabaran aliran atau pergerakan yang bersifat antiagama di dalam masyarakat dunia. Aliran ini juga sedang berkembang pesat kini.
Inilah antara dua faktor yang menjadikan dialog antara agama amat penting pada hari ini. Kepentingan dialog ini bertambah jelas sekiranya kita telusuri perkembangan dunia kini sejak ia beralih ke zaman keterbukaan atau juga dikenali sebagai globalisasi. Peralihan dunia menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai bentuk ajaran bersifat keagamaan yang dianuti sebahagian besar masyarakat dunia.

Hampir kebanyakan masyarakat dunia mempunyai corak anutan agamanya yang tersendiri. Agama ini mengandungi pelbagai aliran kefahaman dari sudut pegangan atau doktrin kepercayaan serta peraturan hidup yang kita istilah dalam bahasa kita sebagai tatasusila atau peradaban. Ia meliputi aspek moral, etika dan kebudayaan hidup yang luas.
Di dalam kepelbagaian agama ini, setiap agama berkongsi inspirasi yang murni. Seluruh ajaran agama diasaskan bagi tujuan membina perkumpulan penganut yang mencintai kebaikan, kesejahteraan dan kedamaian bagi seluruh masyarakat manusia. Unsur murni daripada seluruh ajaran agama inilah yang menjadi asas kepada seruan menganjurkan dialog antara agama. Kemurnian ajaran agama ini perlu digembleng dengan penuh optimum bagi membina satu perkumpulan masyarakat beragama yang kuat di dunia hari ini. Kepentingan ini berkaitan dengan cabaran besar yang sedang dihadapi masyarakat dunia masa kini.

Antara cabaran itu ialah bagi mendepani arus atau aliran kefahaman dan amalan sebahagian masyarakat dunia hari ini yang bersifat antiagama. Fenomena antiagama ini boleh dilihat di dalam banyak aspek kehidupan manusia. Kita boleh mengesan arus dan aliran antiagama ini menerusi permasalahan keruntuhan moral dan peradaban masyarakat. Masyarakat dunia hari ini banyak di dorong oleh cara hidup yang menekankan kepada keuntungan kebendaan atau duniawi di dalam urusan hidup mereka. Sebahagian mereka amat terhibur dengan keseronokan kebendaan dengan menganut fahaman kapitalisme yang melampau. Golongan masyarakat ini adalah manifestasi arus antiagama.

Apabila seseorang itu menganut fahaman antiagama, mereka akan terdedah dengan kegiatan yang bersifat kepentingan sendiri yang cepat tanpa mengira kepentingan umum yang lebih panjang. Akibatnya, mereka terjebak dengan kegiatan penipuan, rompakan dan penyelewengan harta awam demi memenuhi dorongan keseronokan kebendaan yang sementara. Banyak lagi hal-ehwal masyarakat antiagama ini dapat kita menelusuri di dalam kehidupan hari ini. Pada peringkat global, ada sesetengah negara sanggup menjajah negara lain bagi memenuhi tujuan kebendaan atas nama kepentingan negara. Negara ini langsung tidak dapat membayangkan daripada perbuatan penjajahan ini, kesannya terhadap rakyat negara tertindas dan masa depan generasi muda yang akan terbantut perkembangannya daripada pelbagai sudut sosioekonomi.

Fenomena antiagama juga boleh ditoleh kepada permasalahan alam sekitar yang sedang dialami masyarakat dunia hari. Masalah ini adalah rentetan sikap rakus mementingkan keuntungan industri tanpa memikirkan kesan terhadap ekologi hidup manusia. Bagaimanakah kita boleh mendepani cabaran aliran antiagama ini? Salah satunya ialah menerusi penggemblengan masyarakat beragama yang kuat di dalam satu perkumpulan dan pergerakan yang terarah. Seluruh unsur agama perlu disatukan dan digembleng bagi mendepani cabaran antiagama yang berkembang di dalam masyarakat dunia hari ini.

Penggemblengan masyarakat beragama akan menjadi benteng mendepani serangan pemikiran dan kebudayaan arus antiagama yang banyak mendorong masyarakat kepada kebejatan agama dan keruntuhan tamadun yang murni. Inilah antara pandangan penting mengenai keperluan menjayakan dialog antara agama. Bagi tujuan menggembleng kekuatan masyarakat beragama, usaha mencari persefahaman dan mengenal pasti perbezaan antara satu sama lain harus menjadi asas usaha penggemblengan. Di dalam menjayakan dialog antara agama, disiplin dan etika adalah prasyarat proses pelaksanaannya.
Penganut hendaklah saling hormat menghormati apa juga bentuk pegangan dan amalan bagi setiap agama, selagi ia bertujuan menjamin kedamaian dan keharmonian. Di samping itu, dialog perlu dilakukan secara bertahap. Ini memandangkan agama terpecah kepada beberapa tahap penghayatan meliputi aspek doktrin atau pegangan dan aspek amalan dan kebudayaan. Bagi golongan pemuka dan pemikir agama, mereka harus dibenarkan berdialog di dalam aspek doktrin yang memerlukan pengkajian ilmiah tinggi. Bagi golongan penganut umum, mereka perlu didorong di dalam menjayakan dialog pada peringkat amalan moral dan kebudayaan yang bercorak praktikal atau pelaksanaan.

Bagi masyarakat Islam dan Kristian di negara ini, mereka mempunyai kelebihan di dalam menjayakan dialog. Agama Islam dan Kristian mempunyai salasilah kepercayaan yang sama yang mana kedua-duanya adalah sebahagian daripada ajaran agama Nabi Ibrahim. Namun, kedua-dua agama ini juga mengalami perbezaan khusus daripada cara pemahaman mengenai beberapa perkara asas, terutama membabitkan konsep ketuhanan. Untuk memahami perbezaan antara kedua-duanya, penganut kedua-dua agama perlulah menjayakan dialog.

About these ads
This entry was posted in Dakwah, Dialog Peradaban, Gerakan Islam, Isu Semasa, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

3 Responses to DIALOG ANTARA AGAMA

  1. kataganti says:

    Masalah sekarang ni bukannya masalah pertembungan agama. Tidak timbul pertembungan. Punca masalah sebenarnya ialah kita sebagai orang Islam tidak amalkan Islam. Kita tidak jadikan Islam sebagai cara hidup kita. Kita lalai dengan Tuhan. Kita tidak cinta dan takutkan Tuhan.

  2. prokatolik says:

    Salam. Blog saya belum mencapai usia 10 hari. Blog yang cuba mengupas persoalan dialog dua agama ini, menurut perspektif negara Malaysia.

  3. haikal says:

    seperti mana yang kita tahu bahawa agama merupakan kepercayaan seseorang itu tetapi agama yang diredai allahsubhanahuwataala ialah agama islam.Tetapi kita perlu tahu sebagai seorang muslim kita perlu bersatu dalam menyerbakan agama allah ini.Apa yang saya lihat sekarang masih ada lagi masyarakat islam yang tidak bersatu untuk menyebarkan agama allah ini,Apa pandangan anda?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s