MENJANA GELOMBANG BARU KEBANGKITAN DAKWAH ABAD 21

Oleh Muhamad Razak Idris

Tersiar di Berita Harian: 7 Nov 2009

Pergerakan Islam di negara ini harus mula menyusun usaha bagi menjana gelombang baru kebangkitan dakwah. Usaha ini merupakan cabaran utama di abad 21 bagi pertubuhan-pertubuhan berteraskan Islam di Malaysia. Keutamaan usaha menangani cabaran ini disebabkan oleh beberapa faktor.

Pertama, tahap kesedaran terhadap Islam sebagai satu cara hidup pada masa kini sudah semakin merata. Ini dapat dilihat menerusi fenomena pengamalan ajaran Islam yang bertambah meluas di dalam pelbagai aspek kehidupan samada di peringkat individu, kemasyarakatan dan kenegaraan. Kita boleh melihat contoh perkembangan fenomena kesedaran Islam yang meluas ini menerusi beberapa aspek. Salah satunya ialah dari sudut peningkatan kefahaman individu dan masyarakat tentang erti agama Islam itu sendiri.

Pada masa kini, kefahaman bahawa agama Islam ialah satu cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan sudah mula melebar. Kefahaman ini berbeza sekiranya dibandingkan dengan tahap kefahaman tentang agama Islam di peringkat awal kebangkitan dakwah. Agama Islam pada tahap tersebut dipandang sebagai satu bentuk amalan ‘ritual’ atau ‘upacara’ khusus antara seorang manusia dengan Penciptanya yang dijelmakan menerusi rukun-rukun agama seperti bersolat dan berpuasa. Pada tahap awal ini, masyarakat Islam masih belum mengerti bahawa agama Islam juga, di samping mengandungi aspek-aspek keupacaraan, namun di dalam masa yang sama adalah satu sumber nilai yang boleh dijelmakan di dalam bidang pentadbiran dan urusan kemasyarakatan, perekonomian, pendidikan, perundangan dan hal ehwal kenegaraan.

Antara contoh lain tentang fenomena Islam di Malaysia ialah dari aspek peningkatan tahap pengamalan dan perlaksanaan ajaran Islam itu sendiri. Hal ini dapat kita lihat menerusi beberapa unsur seperti pertambahan jumlah para penganut yang tekun di dalam menunaikan ibadah bersolat, berpuasa, berzakat dan menunaikan ibadah haji. Kita semua boleh memerhatikan peningkatan jumlah kehadiran penganut Islam di majlis mingguan solat Jumaat atau pertambahan berterusan jumlah kutipan zakat di seluruh negara. Fenomena yang sama boleh dilihat pada peningkatan jumlah penganut Islam yang menunaikan ibadah haji setiap tahun.

Fenomena yang sama boleh juga dilihat pada pertambahan jumlah penganut wanita yang memilih gaya berpakaian yang menutup aurat, pertambahan institusi pendidikan berteraskan Islam samada diperingkat asas, rendah, menengah dan tinggi serta peningkatan sambutan masyarakat terhadap produk-produk muamalat atau sistem kewangan yang berasaskan Islam di negara ini.

Contoh-contoh tentang fenomena Islam yang dinyatakan ini telah memberikan kita beberapa petunjuk penting tentang tahap kualiti kesedaran, kefahaman dan penghayatan agama Islam di negara kita.

Secara keseluruhannya, fenomena ini membuktikan bahawa masyarakat Islam sudah mula menunjukkan keyakinan tentang kemulian ajaran Islam sebagai satu cara hidup pilihan kepada mereka di era moden hari ini. Pandangan-pandangan negatif tentang Islam seperti agama ini akan menyebabkan kemunduran hidup semakin hari kian terpadam. Masyarakat Islam telah kembali yakin bahawa pengamalan cara hidup berasaskan Islam tidak sahaja memajukan mereka, malah dapat memberi makna tentang kebahagian hidup yang sebenarnya.

Tahap keyakinan baru terhadap Islam dan ajarannya sebagaimana tertunjuk menerusi pelbagai fenomena kehidupan hari ini adalah kesan dari proses dakwah Islamiyyah yang berlaku sekian lama. Proses ini telah bermula sejak agama Islam mula disebarkan kepada umat Melayu di rantau ini berabad-abad yang lalu. Perkembangan dakwah ini digerakkan oleh banyak individu dan pergerakan yang terdiri dari kalangan ahli-ahli agamawan, ulamak, pemimpin politik dan institusi dakwah dan pendidikan Islam.  Kesemua mereka adalah penyumbang besar kepada usaha memberi kesedaran hidup beragama dan kesannya telah terjelma di dalam pelbagai fenomena hidup hari ini.

Fenomena hidup beragama masyarakat Islam masa kini adalah kesan dari usaha dakwah yang berterusan pada masa lalu. Hasil-hasil dakwah ini seharusnya menjadi sumber pengajaran dan kayu ukur di dalam usaha kita merancang dan merangka usaha pembangunan dakwah di masa depan.

Pada padangan saya, gelombang dakwah baru di abad ke 21 harus memiliki beberapa ciri penting berikut:

Pertama, penerusan secara lebih tersusun usaha dakwah yang telah dijalankan pada gelombang sebelum ini. Ini meliputi langkah memperhebatkan penyebaran dakwah secara umum dan khusus meliputi kelompok-kelompok masyarakat yang masih belum terdedah sepenuhnya kepada keindahan ajaran Islam. Kelompok ini meliputi golongan seperti remaja dan belia, surirumah, masyarakat bukan Islam dan Ornag Asli.

Kedua, pembangunan golongan muda atau belia yang berusia sekitar umur 45 tahun ke bawah sebagai teras pergerakan dakwah. Ini kerana golongan ini merupakan generasi penerus kepada proses penerusan usaha dakwah pada beberapa dekad akan datang. Golongan perlu didedah dan dilatih secara berterusan tentang ilmu, kepentingan dan kemahiran dakwah.

Ketiga, pengembelingan seluruh sumber dakwah dari segenap unsur dan pengaruh sebagai satu pergerakan yang bersatu secara utuh. Usaha ini menuntut usaha pembentukan model kerjasama yang segar dan utuh antara individu, pertubuhan, parti politik dan institusi dakwah yang ada di negara ini yang bergiat di dalam pelbagai bidang kehidupan. Model ini adalah berasaskan konsep ‘perkongsian bijak’ bagi tujuan memanafaatkan kekuatan yang dimikiki oleh seluruh unsur dan sumber dakwah tersebut demi kemajuan agama dan ummah.

Keempat, pengembangan bidang tumpuan dakwah di dalam aspek-aspek baru sejajar dengan cabaran umat di abad 21. Ini meliputi langkah menangani cabaran peralihan zaman dan globalisai, agenda liberalisasi budaya dan sikap prejudis terhadap Islam atau ‘Islamophobia’ di kalangan masyarakat bukan Islam.

Agenda menjana gelombang baru dakwah ini memerlukan banyak persediaan dari pergerakan dakwah di negara ini. Antara cabaran utama ialah menampilkan satu watak kepimpinan dakwah yang boleh diterima oleh semua pihak.

About these ads
This entry was posted in Dakwah, Gerakan Islam, Pemikiran Islam, Tamadun. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s