CABARAN MEMBINA PERADABAN MALAYSIA

Oleh Muhamad Razak Idris 

Terdapat banyak cabaran di dalam agenda membina peradaban Malaysia. Cabaran yang paling utama sekali ialah membentuk satu persefakatan pemikiran tentang identiti peradaban itu sendiri. Perkara ini menjadi satu cabaran kerana beberapa faktor.  

Pertama ialah kerana kepelbagaian latar kependudukan masyarakat Malaysia yang terbentuk oleh beberapa komposisi kaum. Sebagaimana yang telah kita ketahui, semasa Malaysia di bawah pemerintahan penjajah Inggeris, latar kependudukan masyarakat telah berubah dan berkembang. Pembangunan ekonomi di Tanah Melayu pada waktu itu telah mendorong penghijrahan yang amat ramai ke negara ini terutama dari kalangan kaum Cina dan India. Pada masa yang sama, masyarakat Melayu yang merupakan kaum utama juga terbahagi kepada beberapa perkumpulan etnik seperti Iban, Kadazan, Dayak dan Dusun.  

Kini, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, kesemua kaum dan etnik ini telah diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. Kesemua kita kini telah menjadi sebahagian dari keluarga besar masyarakat Malaysia. Sebagai satu keluarga besar, kesemua kita yang juga dalam masa yang sama mewakili satu entiti kebudayaan yang tersendiri mempunyai ruang dan hak yang saksama dan diiktiraf oleh perlembagaan.  

Di samping faktor kepelbagaian latar belakang penduduk seperti yang dinyatakan diatas, masyarakat Malaysia juga memiliki kerencaman dari sudut nilai dan pemikiran. Perkara ini merupakan faktor kedua yang menjadi cabaran di dalam agenda membentuk identiti peradaban Malaysia.  

Secara umumnya, nilai dan pemikiran masyarakat Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa pola atau aliran. Aliran pertama sering diistilahkan di dalam diskusi ilmiah sebagai ‘tradisional’. Ia merujuk kepada suatu bentuk cara hidup masyarakat yang amat menekankan kepada asas-asas warisan di dalam kehidupan mereka. Asas-asas warisan ini selalunya dipengaruhi oleh kepercayaan agama dan nilai-nilai mulia yang diperturunkan secara berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain sejak zaman berzaman.  

Asas-asas warisan ini amat penting bagi mereka yang dibentuk oleh pola atau aliran tradisional. Ia harus dipertahankan dengan sesungguhnya. Ini kerana, asas-asas warisan ini merupakan teras yang membentuk identiti sesuatu kaum atau etnik. Asas-asas ini juga sering dirujuk sebagai jatidiri sesebuah masyarakat. Ia juga merupakan garis penentu yang akan membezakan antara satu kaum atau etnik dengan yang lain.  

Sekiranya asas-asas warisan ini lemah dan kendur, ia akan memberi kesan terhadap ketahanan jatidiri sesuatu kaum atau etnik. Malah, akibat yang paling parah sekali ialah masyarakat tersebut akan mengalami krisis identiti. Andainya krisis identiti tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa masyarakat kepada keadaan hilang identiti. Bagi masyarakat yang telah hilang identiti, ia bermakna masyarakat tersebut sudah sudah lenyap di muka bumi ini.  

Pola atau aliran nilai dan pemikiran kedua yang juga sedang berkembang pesat di Malaysia dikenali sebagai ‘liberal’. Ia menggambarkan suatu bentuk cara hidup yang berusaha untuk membebaskan dirinya dari keterikatan dengan asas-asas warisan yang menjadi sumber dan teras utama oleh masyarakat tradisional. Mereka beranggapan bahawa beberapa asas di dalam warisan tradisional boleh menghambat kemajuan diri dan masyarakat. Oleh kerana itu, bagi mencapai kemajuan, sesebuah masyarakat harus keluar dari nilai-nilai hidup yang mengongkong kehidupan mereka demi kemajuan. 

Bagi aliran liberal, nilai-nilai hidup moden boleh membawa masyarakat kepada kemajuan hidup yang sebenar. Oleh kerana itu, masyarakat harus menyandarkan cara hidup mereka kepada struktur nilai dan pemikiran moden yang telah dicapai oleh masyarakat maju pada hari ini dan dalam masa yang sama perlu menolak nilai-nilai hidup yang bertentangan dengan dengan cara hidup moden.

Inilah antara dua faktor yang menjadi antara hambatan di dalam cabaran membentuk persepakatan pemikiran tentang identiti peradaban Malaysia yang ingin dibina. Kepelbagaian penduduk dan kerencaman pola nilai dan aliran berfikir menjadikan ruang kehidupan di negara kita begitu sensitif sekali. Sekiranya kedapatan sesetengah kumpulan atau aliran masyarakat bertindak berlebihan di dalam memperjuang dan mempertahankan asas-asas jatidiri dan identiti dari segi kepercayaan, hak dan nilai-nilai anutan mereka, tindakan tersebut boleh mendorong kepada tindak balas yang serupa pula dari pihak yang berlainan.  

Sejak akhir-akhir ini, pertembungan antara kaum dan aliran berfikir dari kalangan pelbagai perkumpulan agak semakin meninggi dan jurang perselisihan juga semakin menebal. Beberapa perkara seperti permasalahan rumah ibadat, bahasa dan isu-isu perundangan, sekiranya ditangani secara tidak berhemah boleh menjadi pencetus kepada perselisihan dan perseteruan antara masyarakat Malaysia.  

Apakah penyelesaian kepada cabaran membentuk persepakatan pemikiran di dalam kepelbagaian dan kerencaman yang wujud ini bagi mengelakkan fenomena pertembungan yang telah dilihat dan dialami sejak akhir-akhir ini di negara kita? Secara umum, penyelesaiannya boleh dilakukan menerusi beberapa langkah dan ikhtiar.  

Pertama, tuntutan membina satu kerangka teras tentang watak atau identiti peradaban Malaysia dari sudut falsafah, nilai dan kebudayaannya. Watak dan identiti ini harus bersifat inklusif atau terbuka yang memberi ruang yang saksama kepada seluruh kepelbagaian dan kerencaman yang wujud untuk berkembang. Dalam hubungan ini, beberapa prinsip asas seperti aspek kepercayaan rasmi dan amalan demokrasi hendaklah disepakati dan dihormati oleh semua pihak sebagai antara prinsip asas peradaban Malaysia. Prinsip-prinsip asas lain kebanyakannya telah pun tercerna menerusi rukun negara dan perlembagaan Malaysia.  

Kedua, keperluan kepada pengukuhan pola atau aliran nilai dan pemikiran yang bersifat sederhana di perluaskan dan diperkembangkan di dalam kehidupan masyarakat. Ia boleh diperkukuhkan menerusi pembentukan satu piagam etika yang diterima oleh seluruh perkumpulan masyarakat dan kepercayaan agama. Piagam ini mengandungi satu pemerincian tentang tatasusila atau adab-adab yang perlu dipenuhi dan dihayati oleh setiap individu dan perkumpulan masyarakat di dalam usaha mereka memperjuangkan hak dan kepentingan individu dan kelompok.  

Ketiga, kepentingan untuk proses perluasan budaya dan amalan dialog di dalam masyarakat Malaysia. Perkara ini harus bermula dengan penerapan kefahaman tentang dialog sebagai satu ilmu yang amat penting dipelajari. Ini bagi memastikan supaya sebarang bentuk perselisihan dan pertembungan di dalam apa juga isu dan permasalahan di negara ini ditangani menerusi kaedah berdialog atau berbincang.  

Ketiga-tiga langkah ini adalah lontaran umum yang memerlukan banyak pemerincian dan diskusi yang berterusan. Namun, ia boleh menjadi sebahagian dari bahan berfikir asas bagi kita merancakkan semula wacana tentang peradaban Malaysia. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pencetus kepada debat-debat berterusan tentang persoalan penting ini yang dilihati sejak akhir-akhir ini semakin gersang.

This entry was posted in Dialog Peradaban, Isu Semasa, Kenegaraan, Tamadun. Bookmark the permalink.

2 Responses to CABARAN MEMBINA PERADABAN MALAYSIA

  1. umar ghazali says:

    salam. saya orang biasa, lulusan kejuruteraan dan banyak bertugas di luar negara. saya (dan mungkin ramai lagi rakyat malaysia di luar negara) yang mempunyai pengalaman di luar negara (belajar atau bekerja) melihat bagaimana islam itu dilaksanakan dengan mudah dan tidak berlebih-lebihan. saya percaya ramai yang membuat pemerhatian (solat, eid, etc) dan seterusnya mencari rujukan atas dasar apa amal itu berbeza dari apa yang ada di malaysia. fenomena ini mengajar satu disiplin membuat rujukan dari sumber yang asas dan benar, mencari asas sejarah islam tradisi di malaysia, melihat kepada status sufi dan tarekat dari sudut yang jelas, etc.

    secara peribadi, saya tidah mengikuti dr asri, dan saya tak kenal pgsm, tetapi saya kenal abim dan jim. disebabkan isu bantahan dan penangkapan, saya mencari ceramah dr asri di you tube dan saya tak melihat ada kepincangan dalam penyampaiannya. banyak yg selaras dgn apa yang saya faham semasa di luar negara, iaitu melalui faham, ilmu dan amal yg benar dan jelas.

    saya beranggapan, golongan sufi dan tarekat adalah mereka yang paling tidak selesa dan banyak memainkan peranan dalam isu ini. mereka perlu berubah dan melihat usaha pemurnian islam dalam kedaan yang terbuka. saya pernah terbuka satu masa dulu, menghadiri hol satu tarekat di subang jaya. saya pernah cuba mengikuti t. nasyaqbandi. tetapi semua terhenti apabila saya didedahkan dgn kaedah mengenalpasti sumber rujukan etc.

    asas di sini adalah kejelasan ilmu, faham, amal dan berkehendak kepada islam yang asas dari rasulullah saw, sahabat, tabi’e dan tabi’in ra.

    kita perlu membuka minda dan beramanah dgn diri ini. jangan islam ini diselimuti oleh adat, tradisi dan kepentingan sekelompok manusia.

  2. Azhar says:

    Bina peradaban berteraskan ilmu dan iman, kebaikan dan keselamatan, kesemua unsur itu dikongsi bersama lain2 bangsa didunia, berteraskan ideologi maklumat yg pelbagai sumber teknologi, modal insan bermaklumat dan bermoral sgt penting dlm meneruskan kesinambungan peradaban bangsa dahulu, to enhance human capital.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s