ALIRAN ISLAM LIBERAL: CABARAN BARU UMAT ISLAM

Oleh: Muhamad RazakIdris

`Islam liberal’ ialah istilah baru dalam dunia pemikiran Islam semasa. Kemunculannya dilihat sebagai sebahagian dari produk pemikiran yang diasaskan dari kerangka modenisme. Islam sebagai satu tema pemikiran diperdebatkan menerusi  kerangka berfikir modenisme. Natijahnya ialah, kelahiran satu citra berfikir baru yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini.

Untuk memahami `Islam liberal’, masyarakat harus memahami latar dan dasar modernisme terlebih dahulu. Aliran modenisme sebagai satu kerangka berfikir muncul dari latar sejarah yang kompleks dan tersendiri yang dialami oleh masyarakat Barat sekitar abad ke 16 hingga I8 masihi. Ia adalah natijah dari reaksi penentangan sekelompok manusia di Barat terhadap sistem budaya dan struktur berfikir masyarakatnya yang dianggap mengongkong.

Institusi gereja yang mewakili kelompok penguasa dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan hidup dan kebejatan masyarakat. Tafsiran – tafsiran sempit penguasa agama tentang realiti, hukum dan kebenaran mengekang perkembangan ilmu dan kreativiti manusia. Untuk itu, masyarakat perlu dibebaskan dari tradisi ini iaitu monopoli satu kelompok masyarakat (penguasa agama dari institusi gereja) dalam menentukan kebenaran.

Di sinilah bermulanya idea dan gerakan modenisme. Ia adalah satu kepercayaan bahawa untuk mencapai kemajuan hidup, masyarakat harus dibebaskan dari tradisinya. Dari asas kepercayaan ini, ia berkembang sebagai satu gerakan intelektual dan kebudayaan berusaha merombak segala sistem kepercayaan dan struktur sosial yang dianuti dan diamalkan oleh tradisi. Secara khusus, aliran modenisme ialah gerakan protes yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap kebebasan dan hak-hak asasi individu dan masyarakat.

Apakah bentuk kepercayaan baru yang cuba untuk digantikan oleh aliran modenisme setelah mereka menolak tradisinya ? Kepercayaan baru itu dikenali sebagai `sekularisme’. Bagi golongan modenis, sekularisme dianggap sebagai `agama’nya. Antara ajaran utama `agama’ ini ialah bahawa `kebenaran bukan suatu yang mutlak’. Dalam kata lain, kebenaran bersifat relatif atau nisbi iaitu boleh berubah-ubah mengikut keperluan dan tuntutan.

Apakah alat yang akan menentukan `keperluan’ dan `tuntutan’ tentang makna kebenaran tersebut?. Alat tersebut menurut faham sekularisme ialah `rasional’. Ia beerti, sesuatu realiti, hukum atau kepercayaan yang wujud dalam persekitaran manusia adalah benar apabila ia boleh dibuktikan oleh rasional atau akal manusia. Dalam maksud lain, akal ialah sumber kebenaran mutlak menurut kepercayaan aliran modenisme.

Gerakan modenisme ini sepanjang sejarahnya telah berjaya merombak sistem tradisi masyarakat Barat dalam segenap aspek kehidupannya meliputi bidang pemerintahan, keilmuan, perundanngan, seni, hiburan dan tatacara moral. Menerusi faham sekularisme, gerakan modenisme menentukan tafsiran baru terhadap dimensi-dimensi ini menerusi kerangka rasionalisme. Peranan ajaran agama tidak lagi menjadi faktor penentu terhadap makna sesuatu kebenaran.

Aliran ini kini bertapak kukuh tidak sahaja dalam konteks masyarakat Barat malah juga di kalangan masyarakat Timur. Ia telah dikembangkan oleh penjajah-penjajah menerusi sistem pendidikan yang ditubuhkan ditanah-tanah jajahan. Aliran modenisme ini juga berkembang menerusi intekasi kebudayaan terutama apabila negara – negara bekas jajahan – setelah memperoleh kemerdekaan, telah menghantar sejumlah besar anak warganya ke negara Barat bagi mendapatkan latihan dan pendidikan.

Di negara ini secara khusus tidak terkecuali dari mendapat pengaruh aliran modenisme ini. Salah satu dari kesan pengaruh modenisme ialah perspektif dan kefahaman terhadap agama Islam. Perspektif ini pada hari ini dikenal sebagai `Islam liberal’ di mana pandangan atau tasawwurnya terhadap agama bercorak liberal atau tidak terikat dengan dasar-dasar tradisi yang diamalkan atau dianuti oleh masyarakat terbanyak. Ini dapat dilihat menerusi beberapa isu agama yang sedang rancak dibahaskan semenjak akhir-akhir ini yang meliputi perundangan, gender, poligami dan amalan sosial agama seperti aurat.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dua isu dibahaskan aliran ini yang dianggap agak `kontroversi’ oleh masyarakat terbanyak. Pertama ialah cadangan bagi penubuhan `Suruhanjaya Antara Agama’ atau Interfaith Comission of Malaysia (ICM) Kedua ialah memorandum oleh 50 badan bukan kerajaan serta sejumlah individu-individu supaya kerajaan tidak mencampuri urusan atau tatacara moral penganutnya terutama orang-orang Islam memandangkan isu moral ialah hak peribadi individu.

Dari satu sudut, kedua-dua tuntutan ini dilihat suatu yang mempunyai `tarikan’nya yang tersendiri. Ini kerana cadangan-cadangan tersebut dikatakan bagi `memberikan hak asasi individu dan menegakkan prinsip kesamarataan untuk seluruh warga negara’.

Namun, sekiranya di nilai dari satu sudut yang lain, usaha ini adalah satu `protes’ terhadap monopoli kerajaan (dalam konteks khusus ialah pemimpin agama ) yang menyekat kebebasan individu menerusi saluran perundangan.

Dalam dua isu ini, wujud pertembungan yang jelas tentang makna dan pengertian `agama’ pada pandangan kelompok modenis dengan kepercayaan tradisi. Bagi kelompok Islam liberal, agama seolah dilihat sebagai natijah dari himpunan konsep-konsep yang terhasil dari perkembangan pemikiran manusia. Dalam kata lain, agama ialah subjek sosial dan budaya.Oleh kerana itu, urusan berkaitan hal ehwal agama terbuka kepada sesiapa sehingga juga  oleh orang yang bukan menganut ajaran agama tersebut.

Berbeza pula dengan pandangan tradisi di mana persoalan khusus tentang ajaran agama memerlukan keahlian yang khusus. Ini bagi memastikan keaslian ajaran terpelihara dari pengaruh tafsiran yang tidak mempunyai asas dengan akar umbi ajaran agama.

Pertembungan dua aliran ini semakin berkembang dan menonjol. Inilah yang boleh difahami apabila pada satu waktu dahulu, telah dicadangkan satu suruhanjaya khusus ditubuhkan bagi mentadbir hal ehwal agama-agama di negara ini. Secara jangka panjang, ia dilihat satu bentuk mekanisme alternatif terhadap struktur pentadbiran agama di negara ini di mana ia ditadbir oleh ahli-ahlinya yang berautoriti.

Bagi aliran Islam liberal, tidak ada autoriti dalam beragama kerana agama suatu yang bersifat rasional. Kebenaran agama bukan suatu yang mutlak. Untuk merasionalkan agama, maka langkah pertama ialah membentuk mekanisme baru bagi menghilangkan autoriti ahli agama yang selama ini dianggap memonopoli tafisran tentang kebenaran ajaran agama.

Begitu juga apabila dipersoalkan tentang hak negara dalam mengawal moral warganya. Ia dengan jelas menghuraikan ciri aliran Islam liberal yang menganut fahaman tentang kenisbian moral. Dalam kata lain, aliran ini menganggap bahawa moral bersifat relatif serta milik mutlak individu. Secara langsung ia menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya atau dalam maksud lain, agama dan moral adalah suatu yang berlainan sama sekali.

Kepercayaan ini jelas bertentangan dengan kepercayaan tradisi iaitu walaupun individu berhak dan bebas melakukan apa sahaja tindak tanduk moral, namun agama juga memberi hak kepada individu, kumpulan penganut atau penguasa (kerajaan dan pemerintah) mengawal tindak laku moral penganutnya. Ini adalah perintah agama dan ia bersifat mutlak. Ini kerana agama mengutamakan kepentingan awam dan kesejahteraan penganutnya dari didorong dan dirosakkan oleh dorongan diri yang tidak terbatas.

Begitu juga dalam hal memberi tafsiran terhadap ajaran agama. Dalam konteks Islam, tradisi yang ketat bersumberkan pedoman wahyu dan pandangan ahli agama yang terdahulu diambilkira dalam menentukan sesuatu bentuk ajaran dan tafsiran. Ia bertujuan bagi memastikan ajaran agama tidak diselewengkan oleh individu atau kelompok tertentu yang mentafsirkan agama begi tujuan dan kepentingan dirinya. Dengan demikiran, keaslian ajaran agama dapat dipertahankan.

Kedua-dua isu yang dikemukakan oleh sebahagian ahli masyarakat di negara ini memperlihat secara jelas bagaimana pengaruh faham modenisme dalam membentuk perspektif mereka terhadap fungsi dan peranan agama, dalam konteks ini agama Islam.

Usaha-usaha ini adalah antara manifestasi pengaruh fahaman tersebut yang kini telah terbentuk dalam satu perencanaan yang tersusun. Ia menjelaskan tentang langkah gerakan aliran Islam liberal bagi menstrukturkan semula cara berfikir masyarakat negara ini terutama orang Islam menerusi kerangka berfikir yang dianutinya.

Aliran Islam liberal mempercayai bahawa kerukunan hidup masyarakat negara ini yang berbilang bangsa dan budaya hanya boleh dijelmakan menerusi asas sekularisme. Asas agama yang menjadi tunjang pembentukan negara ini dilihat sebagai penghalang kepada kerukukan dan kemajuan hidup warganegaranya. Untuk itu, agenda pensekularan masyarakat harus menjadi rancangan utama dalam rangka membina sebuah bangsa Malaysia yang harmoni.

Alliran ini yang kini sedang mendapat tempat dan dokongan dari pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu yang sebahagiaanya agak berpengaruh merupakan satu cabaran baru kepada umat Islam negara ini secara khusus. Cabaran ini, sekiranya tidak ditangani secara berhemat akan menjadi ancaman kepada kerukunan dan keharmonian hidup beragama di kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Dengan tindakan yang cuba mencabar institusi pemerintah dan kepimpinan agama dalam sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi dan majoriti penduduknya komited dengan ajaran agama yang diasaskan berdasarkan tradisi ajarannya yang tersendiri, ia adalah suatu langkah yang tidak begitu bijak walaupun atas alasan dan cita-cita yang sungguh murni kerana bakal mengundang `ketidaktentuan’.

Adalah suatu kesilapan besar bagi aliran Islam liberal menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini kini seperti keadaan kehidupan agama masyarakat Barat dalam abad ke 16 hingga 18 masihi yang lalu. Penyamaan latar sejarah ini merupakan kesalahan perspektif yang paling tragis sekiranya ia diteruskan dengan protes-protes lain di masa hadapan.

Ini kerana, dalam konteks negara ini, faktor ajaran Islamlah, terutama prinsip toleransi, keterbukaan sikap, semangat ukhwah keinsanan dan kecintaan kepada keamanan dan perdamaian yang terhayat dengan cukup mendalam di dalam sanubari orang-orang Islam yang memungkinkan penganut-penganut agama lain dapat hidup dengan bebas mengamalkan ajaran agama dan kebudayaan tradisi yang diwarisi dari negara asal masing-masing.

 

 

 

This entry was posted in Isu Semasa, Pemikiran Islam. Bookmark the permalink.

One Response to ALIRAN ISLAM LIBERAL: CABARAN BARU UMAT ISLAM

  1. anas says:

    Jadual kunjungan Habib Umar Ke Malaysia

    JADUAL KUNJUNGAN AL-ALLAMAH AL-MUHADDIS AL-HABIB UMAR BEN HAFIZ HAFIZAHULLAH

    KE MALAYSIA

    .

    1) ISNIN , 11 MEI , 6PTG – 10 MLM :

    JILSAH DI MASJID AL-FALAH USJ 9 ,

    SUBANG JAYA , SELANGOR

    .

    2) SELASA, 12 MEI, 6PTG-10 MLM:

    JILSAH DI MASJID SELAT ,

    PULAU MELAKA, MELAKA

    .
    3) RABU , 13 MEI , 6PTG – 10 MLM :
    JILSAH DI MASJID WILAYAH,

    JALAN DUTA, KL\

    http://pondokhabib.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s